Bukan sahaja memastikan program yang dilaksanakan terhindar daripada perbuatan mungkar dan aktiviti yang melalaikan, objektif utama penubuhan ARC adalah menabur bakti dan membantu kumpulan masyarakat memerlukan sama ada di dalam dan luar negara.

Setiausaha ARC Pusat, Ismail Ibrahim berkata, selain berusaha mengisi setiap tentatif program dengan aktiviti bermanfaat termasuk penganjuran sesi tazkirah, kuliah serta qiamullail, aspek ukhuwah atau ikatan persahabatan dalam kalangan ahli tetap diutamakan selain menyalurkan sumbangan kepada pihak yang memerlukan.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah ARC Peringkat Negeri Selangor berkata, sesebuah kelab pemotoran akan dianggap `cemerlang’ sekiranya mempunyai hubungan persahabatan tinggi sesama ahli terutama melibatkan ahli baharu dengan rakan-rakan sedia ada di dalam kelab pemotoran tersebut menerusi sesi ‘taaruf’.

“Alhamdulillah, semua perancangan dan aktiviti yang dirancang berjalan lancar menerusi kerjasama baik yang ditunjukkan oleh ahli-ahli ARC di semua peringkat semenjak kelab permotoran ini ditubuhkan,” katanya yang ditemui S2 2Roda baru-baru ini.

Mengulas lanjut Ismail berkata, ARC pernah mengadakan penyerahan bantuan kepada sebuah pusat pemulihan dadah di Krabi, Thailand pada 2015.

Dalam misi itu katanya, mereka menyerahkan bantuan sebanyak RM28,000 secara tunai kepada pihak pengurusan pusat pemulihan tersebut.

Menurutnya, antara sumbangan besar lain yang pernah dianjurkan oleh ARC adalah menyalurkan bantuan barangan dan wang tunai berjumlah RM8,000 hasil kutipan orang ramai kepada kumpulan asnaf di daerah Selama, Perak dan Kedah selain turut melakukan ziarah ke sebuah pondok pengajian di Sungai Taka, Selama, Kedah.

“Kebanyakan bantuan yang diberikan merupakan sumbangan orang ramai yang dikutip semasa penganjuran kuliah agama. Tabung kutipan digerakkan semasa ustaz-ustaz menyampaikan kuliah,” katanya.

Jelasnya, bagi menyemarakkan semangat kekitaan dalam kelab permotoran tersebut, satu perhimpunan tahunan peringkat kebangsaan akan diadakan.

Jelasnya, acara tahunan tersebut pernah diadakan di Kundasang, Sabah dan perhimpunan paling besar pernah dicatat adalah di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2016 dengan kehadiran 1,600 orang ahli.

Tambahnya, ahli ARC juga pernah melakukan ‘Jelajah Temasek’ iaitu berkunjung ke negara jiran Singapura pada 2014 selama empat hari tiga malam melibatkan 26 buah motosikal bermula dari Sepang, Selangor.

LATIH JADI MARSHALL

Apa yang menarik dalam ARC katanya, kelab permotoran tersebut mempunyai Unit Latihan dan Marshall yang ditubuhkan sejak 2015. Ia bagi memberi latihan kepada ahli untuk menjadi ‘marshall’ terlatih menerusi bimbingan daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Unit Trafik Bukit Aman.

Katanya, menerusi kursus yang diberikan kepada ahli mengikut zon yang berminat, objektif penganjuran adalah memberi tumpuan kepada kaedah dan disiplin semasa berkonvoi.

Jelasnya, ilmu yang dicurahkan kepada ahli semasa penganjuran kursus itu diharap dapat memberi manfaat besar semasa masing-masing mengendalikan konvoi yang besar sekali gus mengelak kejadian tidak diingini atau sekurang-kurangnya tidaknya menyukarkan pengguna jalan raya lain.

Tambahnya, di bawah Unit Latihan dan Marshall, terdapat ‘Unit Expert’ yang bertindak khusus untuk menjalankan tugas-tugas mengiring termasuk rombongan orang kenamaan.

Pada tahun lalu menurutnya, menerusi satu kursus marshall yang dikendalikan oleh PDRM, pihak pengurusan ARC telah membuka peluang kepada bikers dan kelab permotoran luar untuk menyertai kursus tersebut.

Jelasnya, sambutan orang ramai terhadap penganjuran kursus tersebut adalah sangat menggalakkan apabila seramai 130 orang telah menyertai kursus yang sangat bermanfaat itu.

“Kursus menjadi marshall terlatih yang jarang-jarang sekali dianjurkan kelab permotoran lain telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Unit Trafik Bukit Aman bagi melahirkan kumpulan marshall bertauliah. Kursus ini melibatkan penunggang motosikal yang mempunyai jentera berkuasa 250cc dan ke atas,” katanya.