Lihat bampar. Ada elemen menawan terutamanya pada lampu kabus. Jalur hitam se­perti pada mata Deadpool ditarik memanjang ke bawah. Jeriji juga disolek dengan lebih baik melalui hiasan warna pe­rak.

Bampar belakang juga dinaik taraf dengan lampu biasan se­perti pada bampar Myvi 2016. Dengan kata lain Alza yang dinaik taraf ini tidak melalui perubahan yang agresif.

Sebenarnya penulis tidak pernah menguji Alza yang terdahulu, jadi tidak banyak yang boleh diperkatakan dalam ruangan kali ini.

Apa yang penting, walaupun tiada faktor `wow’ namun Alza merupakan model MPV terlaris di Malaysia buat masa kini. Kenapa ia jadi pilihan?

* Sebuah MPV yang mudah

Penulis melakukan pandu uji Perodua Alza Advance untuk mengetahui mengapa ia menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia.

Memasuki ruang kabinnya, Alza menawarkan hiasan yang ringkas. Tempat duduk jenis balutan kulit rekaan baharu dengan hiasan jahitan berwarna merah. Kerusi depan juga agak unik kerana tempat meletak tangan jika ditegakkan seperti kerusi memanjang yang boleh menempatkan seorang kanak-kanak di tengahnya.

Jika direbahkan, tempat meletak tangan itu boleh menempatkan beberapa barangan kecil seperti telefon bimbit dan sebagainya.

Papan pemukanya seperti biasa dengan meter tengah (yang menyebabkan penulis rasa janggal) dan terdapat ruang meletak barang pada pemandu dan penumpang. Kluster tengah papan pemuka juga mengalami perubahan. Corong pendi­ngin hawa direka semula dengan meletakkan corong kekal pada bahagian tengah. Ini supaya penumpang barisan kedua serta ketiga menerima udara yang lebih sejuk.

Skrin infotainmen dite­ngah papan pemuka berasaskan Adroid dengan skrin sesentuh yang boleh dihubungkan melalui Bluetooth dan bertukar menjadi paparan kamera undur.

Tidak terlalu banyak butang kawalan menjadikan Alza ini ringkas dan mudah.

* Kuasa yang berbaloi

Tiada sebarang perubahan pada enjinnya. Perodua mengekalkan enjin 3SZ-VE 1.5 li­ter empat silinder DVVT berkuasa 102 hp/136 Nm untuk Alza.

Di samping itu, Alza turut dilengkapi dengan sistem brek antikekunci (ABS) untuk mengelak jentera hilang kawalan semasa brek kecemasan dan digabungkan bersama Electronic Braking Distribution (EBD) bagi membantu penyebaran brek yang sekata pada semua roda.

Alza ini turut dilengkapi de­ngan bantuan membrek (BA) bagi membantu daya tekanan semasa membrek.

Dengan kata lain, walaupun ia kompak tetapi sistem ke­selamatan aktif cukup sempurna dan memberi keyakinan kepada pemandu dan penum­pang.

* Ujian di jalan raya

Oleh kerana ia sebuah MPV kompak, iaitu tidak besar, tinggi dan panjang maka pemanduan juga sedikit berbeza.

Bunyi pintu ditutup juga menunjukkan ia sebuah MPV yang ringan dan pemanduan yang melulu amat membahayakan. Penulis pernah memecut sehingga 160 kilometer sejam (km/j) dan nyata ia beroleng-oleng disebabkan rintangan angin dan daya graviti.

Ketika itu bunyi deruan a­ngin yang tinggi memasuki kabin dan menenggelamkan alunan muzik. Nyata Noise, Vibration and Harshness (NVH) tidak sebegitu cemerlang.

Kenapa ia berlaku? Pada hari ini kebanyakan komponen kenderaan dihasilkan dengan menggunakan logam ringan. Penggunaan logam ringan ini bukan sahaja dapat mengurangkan berat keseluruhan kende­raan malah ia juga mengurangkan pencemaran ekszos dan menjimatkan bahan api.

Bagaimanapun, komponen kenderaan yang ringan ini tidak mempunyai kebolehan untuk menyerap bunyi dan getaran seperti mana yang dimiliki oleh komponen-komponen yang lebih berat. Ini membawa kepada peningkatan dalam masalah NVH.

Oleh kerana ia sebuah MPV kompak, pemanduan laju nya­ta tidak sesuai untuk Alza ini. Pada harga atas jalan 62,690.00 sebuah tanpa insurans, ia adalah sebuah kereta keluarga untuk ‘makan angin’ dan bukannya untuk orang lain ‘makan asap’.