POSTER pameran 'Super Car Show' yang akan diadakan di Pusat Rekreasi Lubuk Timah, Simpang Pulai dekat Ipoh pada Ahad ini. - UTUSAN ONLINE

Pelbagai jenis kereta sport akan dipamerkan antaranya Ferrari F430, Ferrari 458, Mustang, Nissan GTR ,Porsche Carerra 911, Porsche Cayman 718 dan lain-lain lagi.

Pengurus Pusat Rekreasi Lubuk Timah, Datuk Fadzil Akhma Mohd. Yusoff berkata, dijangkakan lebih 5,000 orang akan mengunjungi pameran tersebut pada Ahad ini.

Menurutnya, pameran itu pertama kali diadakan pusat rekreasi itu dan akan bermula pada pukul 11 pagi hingga 4 petang.

"Orang ramai dijemput menyaksikan pameran kereta sport. Selain itu pengunjung boleh mandi manda bersama keluarga di kawasan air terjun dan kolam air panas atau merasai pengalaman menunggang kuda.

"Turut hadir memeriahkan pameran tersebut ialah artis dan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal," katanya.

Menurutnya, pameran kereta sport diadakan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

"Kami juga akan mengadakan mini ekspo dan pameran serta gerai jualan cenderahati sempena sambutan Hari Malaysia," katanya. - UTUSAN ONLINE