Inilah yang cuba penulis hindari ketika membuat ulasan terhadap kereta Mercedes-Benz A250 AMG Line baharu yang merupakan kategori A-Class dalam keluarga Mercedes-Benz.

Seperti jerung

Jika diperhatikan dari sisi, reka bentuknya seperti jerung. Lampu utama jenis LED High Performance yang ditampilkan dengan reka bentuk lebih tirus ke sisi. Lampu nyalaan siang (DRL) berbentul L terbalik yang memanjang. Jeriji pula berbe­ntuk trapezoid dengan logo besar tiga bintang.

Lampu belakang juga diberi wajah baharu terbahagi kepada dua tanpa elemen berkotak seperti model yang sama sebelumnya. Model ini menampilkan dua ekzos sporty.

Model ini dibina atas platform Modular Front Architecture 2 (MFA2) yang menjadikannya lebih panjang, lebar, tinggi dan lebih rendah berbanding model A-Class yang terdahulu.

Mercedes-Benz A 250 mendapat pakej luar AMG Line yang menjadikannya lebih seksi, garang dengan bampar dan side skirt yang lebih agresif serta rim AMG 18 inci.

Ruang futuristik

Memasuki kabin, pastinya kagum dengan gaya dan kemo­denan yang ditampilkan. Papan pemukanya agak menegak dan lain daripada yang lain. Ia menonjolkan imej transisi yang lembut tetapi elegan.

Pencorong pendingin hawa berbentuk bulat dan bersirip seperti turbin. Butang bantuan pemanduan pula terletak di bawah corong pendingin hawa. Tetapi yang paling menarik ialah skrin infotainment yang memanjang hingga ke panel paparan meter. ia seperti tablet yang panjang.

Jentera ini didatangkan de­ngan tempat duduk sport yang bersambung dengan penyandar kepala, roda stereng yang diba­lut kulit Nappa, hiasan alumini­um serta balutan kulit Artico dan gentian mikro Dinamica.

Sistem MBUX

Ia adalah akronim untuk sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Ia adalah sistem yang membolehkan anda memberi arahan suara kepada Mercedes-Benz A250 ini.

Dengan kata kunci “Hei Mercedes,” pemandu dan penumpang boleh meminta untuk menghidupkan pendingin hawa, menyelaraskan suhu, menukar siaran radio dan juga navigasi. Cuma arahan mestilah dalam bahasa Inggeris.

Fungsinya macam sama de­ngan “Hi Proton” pada X70.

Keseronokan pemanduan

A 250 ini menggunakan enjin 2.0 liter M260 yang sama seperti model sebelum ini. Ia mampu menghasilkan kuasa 224hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm kilas antara 1,800 hingga 4,000 rpm.

Jentera ini boleh memecut 0-100 kilometer/sejam (km/j) dalam masa 6.2 saat serta mencatatkan penggunaan bahan api 6.2 liter/100 km.

Oleh kerana ia sebuah model hatchback, dengan titik kele­gaan yang rendah dari permukaan menjadikan ia sebuah jentera yang ‘sedap’ dipandu di lebuh raya atau jalan raya yang berliku.

Tekan sahaja pendikit mi­nyak secara agresif, anda akan merasakan kuasanya yang tidak terbatas. Transmisi 7-G kelajuan menjadikan pemanduan lebih lancar tanpa sebarang sentapan semasa penukaran gear berlangsung.

Oleh kerana ia sebuah jentera yang mahal, ternyata memang sangat teruja ketika menguji­nya. Seolah-olah persepsi Mercedes-Benz seronok dipandu sebenarnya adalah satu realiti. Kalau tidak percaya, milikinya sebuah hari ini.