Antara SUV yang terkenal dan telah lama berada di pasaran Malaysia antaranya ialah Volkswagen Tiguan. Model itu diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 5 April 2017 setelah mengalami transformasi luaran dan dalaman secara sepenuhnya.

Tiguan merupakan SUV Volkswagen yang paling berjaya dengan lebih 2.8 juta buah telah dijual pada tahun lalu di seluruh dunia. Oleh kerana kehebatannya itu, penulis telah diberi kesempatan untuk me­nguji Tiguan Highline baru-baru ini.

Reka bentuk baharu

Ya, Tiguan 2017 ini sangat jauh berbeza dengan Tiguan sebelumnya. Setelah Volkswagen melancarkan model Passat B8 (generasi kelapan), hampir kesemua model baharu seolah-olah berwajah sama sekurang-kurangnya pada lampu utama dan jeriji.

Model ini didatangkan de­ngan lampu utama berkotak yang kelihatan besar dengan jeriji perak. Lampu utama jenis LED adaptif yang mampu menghasilkan limpahan cahaya yang sangat jelas. Di bahagian bawah bampar terletaknya lampu kabus.

Dari segi pendapat penulis, wajah Tiguan kali ini sangat matang dan konvensional. Seperti sebuah kotak tanpa garisan seni yang menonjol. Lampu belakangnya jenis LED dan banyak dipengaruhi imej tegap.

Oleh kerana Tiguan ini kelihatan agak tebal, dengan dimensi yang lebih panjang, lebar dan rendah berbanding model terdahulu, Tiguan serba baharu mempunyai reka bentuk yang dinamik serta identiti tersendiri. Ia didatangkan dengan pintu but belakang yang boleh dibuka secara elektronik.

Ruang dalaman

Lupakan bentuk luarannya, dan lihat pula ruang dalaman­nya. Sebagai sebuah SUV Eropah, sudah tentunya menawarkan keselesaan yang optimum.

Tempat duduk adalah upholsteri kulit ‘Vienna’, perehat tangan yang boleh dilaraskan ketinggiannya serta corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Tidak ke­tinggalan, tempat duduk kulit 12 talaan untuk pemandu serta sistem pendingin hawa `Climatronic’ dengan kawalan suhu tiga zon untuk keselesaan semua penumpang.

Penumpang belakang boleh menggunakan meja boleh lipat yang mampu diposisikan pada empat sudut berbeza. Sangat sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa untuk meletakkan makanan atau minuman.

Paling istimewa Tiguan serba baharu juga dilengkapi lampu ambien yang menyala pada garis pintu dan kemasan sisi untuk ruang kabin yang lebih cerah.

Enjin kecil, kuasa yang besar

Tiguan menggabungkan enjin TSI pengecas turbo bersesaran 1.4 Liter dengan kotak gear jenis basah direct shift (DSG) 6 kelajuan untuk memberikan kuasa impresif iaitu 150PS dan kilas 250Nm di antara 1,500 hingga 3,500rpm.

Enjin yang kecil untuk sebuah SUV yang besar, tetapi kuasanya sangat mengagumkan. Kebanyakan model Volkswagen di pasaran negara ini banyak menampilkan enjin bersesaran kecil, tetapi kuasanya sangat besar.

Enjin 1.4 liter itu menawarkan pecutan mengagumkan, dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya 8.9 saat dengan catatan penggunaan bahan api sekitar 6.7 li­ter/100 km. Tahap penggunaan bahan api yang luar biasa ini membolehkan Tiguan serba baharu menerima persijilan ken­deraan cekap tenaga (EEV).

Pemanduan

SUV ini lincah di jalan raya apatah lagi di lebuh raya. Penulis mengujinya di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak sehingga ke Raub, Pahang dan sangat berpuas hati dengan kuasanya.

Penggunaan tayar bersaiz 18 inci dan lebar serta suspensi yang sesuai, banyak menyerap olengan pada Tiguan ini. De­ngan kata lain, ia menghasilkan keselesaan kepada penumpang dan pemandu. Walaupun ia sebuah SUV dengan titik graviti yang tinggi, namun sangat stabil kerana dibantu dengan saiz yang lebar.

Soal membelok dan mengharungi selekoh bukanlah satu isu yang besar untuk Tiguan ini. Kuasa daripada enjin 1.4 liter dengan pengecas turbo disalurkan secara selesa tanpa tersentak-sentak. Tanpa menukar gear sama ada di stereng dengan paddle shifter ataupun gear konvensional, DSG telah membantu tukaran gear dengan cukup sesuai tepat pada masa­nya.

Anda tidak akan mendengar enjin melahu dengan kuat semasa tukaran gear berlaku. Penulis sempat memecut sehingga 190 km/j dengan Tiguan dan biasa­nya, kelajuan maksimum akan menyebabkan bunyi angin dan enjin yang kuat memasuki kabin.

Keseronokan pemanduan juga dibantu dengan sistem infotainmen yang memberikan pilihan ketersambungan yang luas dan navigasi mudah kepada pemandu. Sistem Active Info Display interaktif dan boleh diubah itu hadir bersama thin-film transistor (TFT) resolusi tinggi bersaiz 12.3 inci bagi menggantikan panel instrumen tradi­sional.

Terdapat enam tema dan mode berbeza yang telah ditetapkan untuk memenuhi keperluan pemandu iaitu Classic, Mode Eco, Driving Assistance Mode, Mode Penggunaan Bahan Api (Fuel Consumption Mode) dan Mode Navigasi.

Spesifikasi Volkswagen Tiguan

Enjin: 1.4 liter TSI Highline
Kuasa maksimum: 150PS @ 5,000-6,000rpm
Kilas maksimum: 250Nm @ 1,500-3,500rpm
Transmisi: 6 kelajuan DSG
Pecutan 0-100 km/j: 8.9 saat
Penggunaan minyak: 6.7 liter/100 km
Harga: RM159,458 (tidak termasuk insurans)