Malaysia menjadi negara kedua selepas Jepun yang menerima kemasukan varian HR-V hibrid baharu untuk pasaran tempatan. Penulis baru-baru ini berpeluang memandu uji HR-V hibrid di sekitar Pulau Langkawi, Kedah.

• Luaran

Dari segi saiz dan keseluruhan wajah luarannya tidak menampakkan perubahan yang drastik dan masih mengekalkan gaya kompak seperti generasi terdahulu. Logo Honda kini dile­takkan pada palang melintang yang lebih tebal dengan rekaan gril hadapan baharu pada bampar.

Lampu kabus sama seperti yang terdapat pada varian pa­ling rendah, E dan menggunakan mentol biasa berbanding varian V dan RS yang didatangkan dengan lampu jenis diod pemacar cahaya (LED).

Pada bahagian belakang terdapat garisan melintang dengan kemasan krom yang terletak di bawah logo Honda. Rekaan lampu belakang yang tirus di tengah dan melebar pada bahagian tepi memberikan rupa yang maskulin dan sporty.

• Dalaman

Melangkah masuk ke ruang kokpit, penulis mendapati tidak banyak butang-butang kawalan yang kompleks pada papan pemuka dan stereng. Kawasan papan pemuka juga kelihatan kemas dan teratur.

Yang menarik perhatian penulis adalah tombol gear yang lebih pendek seakan-akan rekaan yang terdapat pada kereta mewah. Butang hidup mula enjin juga diubah dengan kemasan krom di sekelilingnya. Gabu­ngan berkenaan menampakkan ruang dalaman HR-V hibrid kelihatan lebih elegan.

Kapasiti ruang kargo HR-V hibrid sedikit kecil berban­ding varian lain disebabkan oleh bateri lithium-ion yang berada di bahagian belakang. Nisbah tanpa lipatan dan lipatan tempat duduk belakang adalah 404 liter (L): 991L berbanding 437L:1032L.

• Prestasi

HR-V hibrid dikuasakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC dan dilengkapi Sport Hybrid i-DCD (pemanduan dua klac pintar) sama seperti yang terdapat pada Jazz hibrid. Jentera ini mampu menghasilkan kuasa sebesar 132 PS pada 6,600 rpm dan daya kilas 156 Nm pada 4,600 rpm. Gabungan output dengan motor elektrik menghasilkan kuasa 152 PS dan daya kilas 190 Nm sama seperti prestasi enjin 2.0L.

Gabungan output yang dihasilkan sedikit lebih besar berbanding varian yang menggunakan petrol iaitu pada 142 PS dan 172 Nm. Bagaimanapun, pemanduan di sekitar Langkawi membataskan penulis untuk mencuba kuasa pecutan terutama di jalan lurus.

Walaupun menggunakan kombinasi petrol dan bateri, jentera ini tidak mempunyai masalah ketika memotong kenderaan terutama dalam mod Sport. Tekan sahaja pedal minyak kereta ini akan terus memecut tanpa terasa lambat pickup. kawalan stereng juga lancar dan responsif.

Semasa ujian meletak kenderaan menggunakan kamera belakang, penulis mendapati paparan skrin 6.8 inci langsung tidak membantu kerana cahaya luar yang terang menghalang penglihatan dan kejelasan skrin.

• Pakej

Antara ciri-ciri keselamatan pasif dan aktif yang terdapat pada HR-V hibrid seperti enam beg udara, Isyarat Pemberhentian Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Agihan Brek Elektronik (EBD), Sistem Brek Antikekunci (ABS) dan Bantuan Mula Daki (HSA).

Honda HR-V hibrid berharga RM120,800 sebuah tidak termasuk insurans. Honda Malaysia menawarkan lapan tahun jaminan tanpa had perbatuan untuk bateri hibrid.

Pemilik juga ditawarkan perkhidmatan kos buruh percuma sebanyak lima kali bagi jarak perbatuan 100,000 kilometer atau dalam tempoh lima tahun mana-mana yang terdahulu.

HR-V hibrid boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu white orchid pearl, lunar silver metallic dan modern steel metallic.

Secara keseluruhan, HR-V hibrid tidak mengecewakan walaupun menggabungkan kuasa petrol dan bateri. Isu kecil seperti kejelasan skrin ketika cahaya terang perlu diberi perhatian segera. Walaupun tidak mengganggu prestasi kereta, namun ia cukup untuk memberi persepsi negatif.

Dari segi penawaran produk, HR-V hibrid dilihat tidak berada dalam kelasnya yang tersendiri apabila kebanyakan spesifikasi lebih kurang atau hampir sama dengan varian E. Perbezaan harga antara kedua-dua varian adalah RM12,000.