Lebih bebas dan bersendirian menjadi asas kepada kelahiran kereta ikon Volkswagen Beetle. Di zaman 60-an, Beetle atau kumbang jika diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia adalah salah satu daripada lambang budaya hippie.

Di Malaysia, ia di kenali sebagai kereta katak atau kodok pada tahun-tahun 70-an kerana fizikalnya yang hampir menyerupai amfibia itu.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1930-an, Volkswagen Beetle telah mengalami transformasi selama lebih 80 tahun tanpa menjejaskan imej yang sebenar.

IMEJ

Imej separa bulat Beetle itu masih berterusan dengan lampu utama kekal bulat sehingga kini. Hanya beberapa makeup dikenakan untuk menjadikan Beetle kekal retro supaya tidak jauh ketinggalan dengan citarasa masa kini.

Misalnya Volkswagen Beetle Sports yang diuji penulis masih mengekalkan ciri-ciri old fashion seperti lampu besar utama yang berbentuk bulat. Fizikal badannya juga seperti model asal dengan beberapa penambahan aksesori bagi menjadikannya lebih relevan.

Perubahan yang berlaku antaranya membabitkan penggunaan lampu kabus, bampar depan dan belakang yang dinaik taraf, Jeriji bawah bampar depan yang dihiasi dengan jalur bewarna perak, lampu belakang yang diberi imej baharu dan kedudukan lampu isyarat di atas lampu kabus.

KEMASAN DALAMAN

Papan pemuka juga seolah-olah macam model yang dahulu iaitu berkotak tetapi disolek dengan kemasan warna.

Jika warna kereta Habanero Orange, maka warna yang sama akan menghiasi papan pemuka. Itulah keunikan Beetle ini. Secara tidak langsung ia mencetuskan mood ceria kepada pemandu.

Kerusi pula jenis kulit dengan mengikut garis kontur tubuh. Walaupun kereta coupe, namun ada kerusi untuk penumpang belakang. Bagaimanapun kerana ruang kelegaan kaki yang terhad antara kaki penumpang bela­kang dengan kerusi hadapan, maka ia tidak sesuai untuk orang dewasa yang tinggi.

* PRESTASI

Volkswagen Beetle ini dipasang dengan enjin petrol empat silinder 1.2 liter TSI. Ia merupakan enjin yang sempurna untuk menjana kuasa 105PS dan kuasa kilas 175 Nm.

Kombinasi sesaran enjin yang rendah, turbocaj dan suntikan terus, menghasilkan Beetle yang berkuasa. Penggunaan minyak juga menakjubkan iaitu 5.9 liter/100 kilometer (km).

Bagi melengkapkan lagi Beetle ini, ia dilengkapi transmisi jenis DSG tujuh kelajuan automatik. DSG menghasilkan tukaran gear yang sempurna, tidak melahu dan tersentak-sentak. Jika mahukan tukaran gear manual, gunakan kaedah tiptronic pada tombol gear.

PEMANDUAN

Ya, penulis akui ia sebuah kereta yang menyeronokkan. Gabungan enjin TSI dan kotak gear DSG menghasilkan pemanduan yang lancar. 
Ia bukan sebuah 
kereta coupe sports yang 
asyik mahu memecut 
sahaja, tetapi ia sebuah kereta retro yang mementingkan gaya.

Tak perlu memecut selalu, cukuplah untuk menikmati pemanduan dan membiarkan pemandu lain melihat Beetle anda.

Tetapi jika wujud keperluan untuk memecut, enjin 1.2 liter TSI boleh diharapkan dan penulis sempat memecut sehingga 160 kilometer sejam (km/j).

RUMUSAN

Bagi peminat retro, Volkswagen Beetle adalah kereta yang sesuai untuk anda. Evolusi selama lebih 80 tahun menjadikan ia tidak lapuk ditelan zaman.