MPV tujuh tempat duduk itu menampilkan wajah baharu dengan lambang Chevron yang bersambung terus dengan lampu utama. Rekaan lampu utama yang tirus terdiri daripada Bi-Xenon dengan pelarasan ketinggian manual, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus yang dikelilingi garisan krom pada bampar hadapan.

Lampu kabus belakang disatukan dengan bampar belakang dan dipadankan dengan cahaya 3D. Model ini menggunakan rim aloi Boa bersaiz 17 inci.

Ruang dalaman menerima sentuhan trim premium iaitu kombinasi unik Citroen yang dikenali sebagai ambien Hype Grey. Papan pemuka menempatkan paparan skrin bersaiz 12 inci dan skrin sentuh tujuh inci dengan sambungan standard Android Auto, Apple CarPlay, Mirrorlink dan USB.

Selain itu, terdapat juga brek parkir elektrik automatik, stereng berkuasa elektrik, soket 12V dan meja di bahagian belakang bersama diod pemancar cahaya (LED). Baris kedua dan ketiga tempat duduk boleh diturunkan bagi meningkatkan kapasiti but daripada 632 liter kepada 2,181 liter.

Antara ciri baharu yang ditambah adalah pintu belakang bermotor dengan memori ketinggian. Aspek keselamatan terus diberi perhatian dengan sistem bantuan pemanduan seperti Brek Keselamatan Aktif, Pengecaman Had Kelajuan dan Amaran Perhatian pemandu.

Citroen Grand C4 SpaceTourer baharu dikuasakan enjin Tekanan Tinggi 1.6 Turbo yang menghasilkan kuasa sebanyak 167 PS dan kuasa kilas 240Nm pada 1,400 rpm serta dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.