Kembara Amal Bermotosikal 5 Hari Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas (KSRP) itu telah memberi peluang kepada para peserta untuk melihat alam semula jadi yang kekal terpelihara di ICCA selain membantu penduduk setempat di Kampung Imbak dalam meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan mereka.

Kembara amal 5 hari KSRP - Petronas
 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman berkata, program Kembara Amal Bermotosikal 5 Hari KSRP yang disertai kakitangan Petronas pelbagai bahagian itu turut bertujuan untuk mendukung matlamat membantu serta memperbaiki kehidupan komuniti kurang bernasib baik.

“Aktiviti yang dirancang ini direka bentuk khusus untuk memberikan impak lestari kepada komuniti terlibat, khususnya di Kanyon Imbak bagi membolehkan mereka meningkatkan taraf dan kelestarian hidup, namun dalam masa yang sama memberikan satu lembaran baru kepada kami masyarakat bandar mengenai pentingnya menjaga alam sekitar.

Kembara amal 5 hari KSRP - Petronas
 

“Dengan adanya pengembaraan sebegini, kami akan komited untuk memupuk kesedaran dalam kalangan peserta tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar melalui usaha yang dijalankan di Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC),” katanya selepas acara pelepasan pengembaraan berkenaan di sini baru-baru ini yang turut mendapat sokongan daripada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir.

Melalui pengembaraan yang bermula dari Kuala Lumpur itu, para peserta Kembara Amal Bermotosikal 5 Hari KSRP perlu melalui perjalanan sejauh 263 kilometer dari Kota Kinabalu ke Kampung Imbak yang terletak di Ulu Kinabatangan sebelum sampai di ICCA.

Kembara amal 5 hari KSRP - Petronas
 

Pada tahun 2009, Yayasan Sabah dan Petronas telah menandatangani memorandum persetujuan dengan hasrat menjadikan Kanyon Imbak sebagai pusat pembelajaran dalam pemulihan kepelbagaian bio serta tabung genetik dan penerokaan potensi farmaseutikal dan bioteknologi.

Ini termasuk pelaburan Petronas sebanyak RM83 juta khususnya dalam membangunkan ICSC yang dilihat mampu mengukuhkan kedudukan ICCA yang sedikit sebanyak memberi kemudahan kepada masyarakat setempat.

Kembara amal 5 hari KSRP - Petronas
 

ICCA terletak di dalam lingkungan jantung negeri Sabah di mana ngarai Imbak itu dikatakan sebagai sebuah ‘taman fantasi’ yang mengagumkan.

Malah, dikatakan terdapat ratusan spesies flora dan fauna menjadikan Kanyon Imbak sebagai habitat mereka dan masih terdapat kawasan yang luas dan belum diterokai bagi tujuan penyelidikan.

Manakala Kampung Imbak mempunyai sekitar 800 orang terdiri daripada etnik Sungai Makiang, Dusun dan Iban, etnik yang dikatakan berhijrah dari Sarawak ke kampung berkenaan.

Kembara amal 5 hari KSRP - Petronas
 

Dalam perkembangan berkaitan, Lita menambah, pada Kembara Amal Bermotosikal 5 Hari KSRP itu, para peserta turut melaksanakan pemulihan kantin dan kawasan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Sekolah Kebangsaan Kampung Imbak selain ceramah motivasi turut diberikan kepada lebih 30 pelajar sekolah tersebut.

“Malah, para peserta turut membantu pengusaha inap desa kampung berkenaan untuk mempromosi produk mereka serta memasarkan kraftangan mereka melalui dalam talian,” katanya.

Kembara amal 5 hari KSRP - Petronas
 

Dalam pada itu, Ketua Kembara Kembara Amal Bermotosikal 5 Hari KSRP, Wan M. Azmee Wan Mohmmad berkata, pada program kali ini, rata-rata peserta baru pertama kali menjelajah ke dalam hutan Kelas 1 jauh ke dalam pendalaman Sabah itu.

“Pengembaraan ini merupakan satu program yang menarik selain kami boleh mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat dengan pelbagai aktiviti yang kami lakukan,” katanya.

Kembara amal 5 hari KSRP - Petronas
 

Menurut Wan M. Azmee lagi, sepanjang pengembaraan itu, jentera peserta dan juga pasukan sokongan menggunakan bahan api Petronas Primax 95 dan Dinamik Diesel Euro 5 bagi menjamin kelancaran pergerakan dalam melalui beberapa lokasi jalan sukar tanah dan batu kerikil merentasi Telupid ke Kampung Imbak. - UTUSAN ONLINE