Sejak percutian di atas kapal mewah menjadi popular lebih satu abad yang lalu, industri ini semakin berkembang dari semasa ke semasa, daripada sebuah pelayaran biasa sehinggalah menjadi rebutan golongan elit untuk menikmati sebuah pelayaran yang bercirikan eksklusif dan mewah.

Namun di sebalik segala keperluan yang disediakan terdapat juga sudut lain yang menjadi ‘rahsia’ menarik sesebuah kapal persiaran mewah.

Inilah yang terdapat dalam kapal persiaran mewah MSC Seaside milik MSC Cruises yang berharga £1bilion atau kira-kira RM5.38 bilion. Dilancarkan pada 2017, MSC Seaside merupakan kapal pelayaran mewah yang ke-14 paling besar di dunia yang dilancarkan ketika itu, mengatasi kapal persiaran mewah, Freedom of the Seas dan Independence of the Seas.

Seberat 153,516 tan, kapal ini mampu menampung sebanyak 5,179 penumpang dan 1,500 anak kapal dalam satu-satu masa.

BILIK DOBI DAN CORONG DIHUBUNGKAN KE DASAR LAUT

Selain mempunyai 19 bar dan bilik istirahat serta lapan kawasan persembahan muzik secara ‘live’ dan sebuah kelab malam, kapal persiaran mewah ini turut dilengkapi dengan sebuah bilik mendobi yang bersaiz sangat besar dan sebuah corong yang dihubungkan terus ke dasar laut bertujuan ‘membuang’ sisa makanan ke dalam laut untuk dimakan oleh ikan-ikan.

Disebabkan kemampuannya membawa jumlah penumpang yang ramai, semua keperluan asas daripada penyediaan makanan sehingga kerja-kerja pembersihan linen sama ada pakaian mahu pun cadar, lapik tilam, sarung bantal, tuala dan sebagainya perlu dibuat dalam kuantiti yang besar.

Biar pun perkhidmatan untuk membasuh pakaian dikenakan caj, perkhidmatan yang disediakan sangat memuaskan apabila pelanggan boleh mengambil semula cucian pada hari yang sama. Bagi kemudahan keluarga yang membawa bayi dan kanak-kanak pula, MSC Seaside turut menyediakan perkhidmatan dobi bayi yang diasingkan daripada pakaian lain dan menggunakan bahan cucian khas.

Bagi penyediaan makanan pula, setiap minggu sebanyak 107,499 pinggan disediakan untuk makan malam. Lebih menarik, untuk hidangan selama tujuh hari di atas kapal ini sebanyak 140,000 biji telur, 18,000 kilogram buah segar dan 5.1 tan tepung perlu digunakan.

Jika terdapat sisa makanan, anak kapal akan membuang sisa ini melalui corong yang dihubungkan terus ke dasar laut untuk diberikan makan kepada ikan.

KAPAL MEWAH COSTA VENEZIA DILENGKAPI MEJA MAHJuNG

Sedikit berbeza daripada MSC Seaside, kapal mewah milik Costa Cruises iaitu Costa Venezia dibina bagi memenuhi pasaran pelancong dari China yang dijangka mencecah 20 juta orang menjelang tahun 2030.

Berharga £600 juta atau kira-kira RM1.2 bilion, kapal persiaran mewah ini tidak seperti kapal mewah lain yang lebih menumpukan kepada pelancong Eropah berbanding Asia.

Menurut Pengarah Urusan Costa Asia, Mario Zanetti, kapal mewah ini hanya menyediakan beberapa unit kerusi untuk berjemur di bawah matahari memandangkan pelancong China lebih gemar berbual, makan dan menonton persembahan.

“Jika sembilan daripada pelancong Eropah suka berjemur di bawah matahari, lapan daripada sembilan pelancong China tidak menggemarinya.

“Malah, pelancong China juga lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga di dalam bilik berbanding pelancong Amerika Syarikat yang suka pergi ke bar dan berhibur,” ujarnya.

Dengan panjang 324 meter atau lebih panjang 30 meter daripada kapal mewah Queen Elizabeth 2 (QE2), kapal persiaran mewah ini mampu membawa sebanyak 5,260 penumpang dan 1,278 anak kapal dalam satu-satu masa.

Berbeza dengan QE2, sebahagian besar di bahagian dek kapal ini tertutup daripada sinaran matahari dan mempunyai kerusi sandar berbanding kerusi jemuran.

Bagaimanapun, kapal mewah ini masih menyediakan ruang hiburan seperti 11 bilik karaoke, enam bar, 15 restoran dan paling istimewa mereka turut menyediakan meja mahjung iaitu permainan terkenal masyarakat Cina bagi penumpang kelas pertengahan berhibur.

Biar pun, hanya belayar di sekeliling Asia, kapal pelayaran mewah ini menampilkan rekaan dalaman bercirikan Venice, Itali termasuk sebuah teater yang dihiaskan sama seperti rumah opera, Fenice dan bahagian dalamannya yang kelihatan seperti Dataran St Mark’s. Lebih menarik, pelancong juga boleh menjelajah ke Venice secara realiti maya (VR) dan melawat muzium pasukan bola sepak Juventus FC ketika menikmati pelayaran di atas kapal mewah yang jauh dari daratan.