Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penerbangan tempahan itu dikendalikan oleh syarikat swasta iaitu VUB Holdings Sdn. Bhd. dan para penumpang yang kebanyakannya pelancong serta ahli perniagaan akan berada di Terengganu selama lima hari empat malam.

Katanya, kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha syarikat tersebut merealisasikan visi kerajaan negeri menjadikan LTSM sebagai hab penerbangan terus dari luar negara terutamanya China.

Menurutnya, usaha itu merupakan pembuka jalan kepada lebih banyak lagi penerbangan tempahan dari China ke Terengganu dalam merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

"Di samping itu ia juga bertepatan dengan Visit Malaysia 2020 serta kempen Beautiful Terengganu sekarang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ariffin berkata, dalam kunjungan itu, rombongan pelancong berkenaan akan melawat tempat-tempat menarik di Terengganu antaranya Tasik Kenyir, 

Pulau Redang dan sekitar Kuala Terengganu sebelum menaiki penerbangan pulang ke Fuzhou, China 30 Ogos ini.

Beliau menarik perhatian, sepanjang tahun lalu, seramai 4.79 juta pelancong termasuk dari China berkunjung ke Terengganu khususnya Pulau Lang Tengah dan Pulau Redang.

"Kita harap kerjasama kerajaan dan pemain-pemain industri ini dapat buka ruang untuk lebih mengenali tempat-tempat pelancongan lain seperti Tasik Kenyir dan lokasi-lokasi menarik sekitar Kuala Terengganu,” katanya sambil menambah, syarikat VUB Holdings Sdn. Bhd. dalam perancangan membawa pelancong dari Jepun dan Korea ke negeri ini selepas ini. -UTUSAN ONLINE