Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ketibaan pelancong ke Malaysia juga mencatatkan peningkatan 4.9 peratus iaitu seramai 13.35 juta orang berbanding 12.73 juta bagi tempoh sama 2018.

“Sumbangan kepada perbelanjaan pelancongan adalah dari jarak dekat seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei serta pasaran sederhana iaitu China, India dan Korea Selatan.

“Perbelanjaan pelancong tertinggi mengikut tiga negara teratas adalah Singapura sebanyak RM11.56 bilion, China (RM7.09 bilion) dan Indonesia (RM5.71 bilion),” katanya dalam sidang akhbar bagi mengumumkan prestasi pelancongan separuh tahun pertama 2019, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohammadin berkata, negara ASEAN masih mendominasi agihan pelancong antarabangsa dengan 70 peratus manakala bagi pasaran jarak sederhana dan jauh pula masing-masing menyumbang 20.8 peratus dan 9.2 peratus.

Ditanya mengenai sasaran ketibaan pelancong tahun ini iaitu 28.1 juta, Mohamaddin berkata, jumlah itu mampu dicapai berdasarkan trend positif tersebut disamping waktu puncak bermula Julai hingga September berikutan musim panas di negara seperti Timur Tengah dan Eropah.

"Ketika ini sudah lebih 13 juta orang (pelancong), yang mana belum masuk waktu puncak bagi sesetengah negara untuk pelancongnya datang.

“Kita mempunyai beberapa bulan lagi dan saya yakin boleh capai (sasaran) itu," katanya. - UTUSAN ONLINE.