Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi), Datuk Jefridin Atan berkata, pakej percutian empat hari tiga malam untuk dua orang itu merangkumi tiket penerbangan pergi balik, penginapan, sehari bersiar-siar di kota London dan pengangkutan pergi dan balik ke lapangan terbang di London.

“Dalam tempoh tiga minggu mencari penajaan, pakej percutian ke London antara hadiah paling bernilai yang kami terima setakat ini untuk pemenang cabutan bertuah Legasi Run 2019.

“Malah banyak lagi hadiah yang bakal diterima pemenang cabutan bertuah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jefridin berkata, Legasi Run 2019 yang julung kali dianjurkan oleh Legasi akan berlangsung di Taman Botani Putrajaya pada 20 Oktober depan.

“Ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu 3 kilometer (km) dan 10 km. Yuran pendaftaran bagi 3 km ialah RM55 dan RM 65 bagi 10 km manakala pakej keluarga iaitu ibu bapa dan dua anak berusia 12 tahun ke bawah dikenakan yuran sebanyak RM100.

“Selain itu, hadiah bernilai RM800, RM600 dan RM400 bersama trofi bakal dimiliki pemenang tempat pertama hingga ketiga untuk empat kategori larian,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, penganjuran larian itu bertujuan mewujudkan gaya hidup sihat, beriadah sambil beramal, memupuk semangat perpaduan serta mengukuhkan ikatan kekeluargaan bagi melahirkan legasi keluarga dan masyarakat yang berkualiti demi kemajuan dan pembangunan negara.

Katanya, program berkenaan akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sekali gus menyerahkan sumbangan amal kepada Tabung Bersamamu Media Prima – NSTP Humanitarian Fund dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Yang turut hadir pada hari tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga pengasas dan Penaung Legasi.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai acara ini dan sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi talian berikut iaitu 019 936 8396 atau 012 9777739 atau melayari laman web di www.racexasia.com. - UTUSAN ONLINE