Menyedari masalah yang dihadapi umat Islam di Taiwan sekumpulan sembilan orang mahasiswa National Taiwan University of Science membangunkan aplikasi Halal.TW

Aplikasi itu pada mulanya dibangunkan dengan niat untuk membantu rakan-rakan sekuliah mengetahui lokasi makanan halal di seluruh Taiwan yang bukan sahaja menepati kehendak syariah tetapi juga menawarkan harga yang berpatutan.

INTAN DZIKRIA
INTAN DZIKRIA 

Salah seorang pengasas Halal.TW Intan Dzikria, 27 dari Indonesia yang merupakan mahasiswa Sarjana Teknologi Maklumat berkata, sehingga kini aplikasi tersebut menyenaraikan 256 lokasi gerai, restoran dan hotel yang mendapat pengiktirafan halal dari Persatuan China Muslim (CMA) yang bertindak sebagai badan penyelia dan pemantau makanan halal di Taiwan.

“Lebih 10,000 pengguna telah memuat turun aplikasi ini sejak ia dilancarkan tahun lalu. Penggunanya bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Islam tempatan tetapi juga umat Islam dari seluruh dunia yang datang ke Taiwan untuk tujuan perniagaan atau melancong.

“Bukan mudah untuk menerangkan konsep halal kepada rakyat Taiwan yang bukan beragama Islam. Mereka melihat sesuatu perkara berdasarkan logik dan sains. Untuk makanan halal berkembang kita perlu menerangkan konsep halal bukan berdasarkan agama tetapi melalui logik sains,” kata Intan kepada media Malaysia yang dibawa oleh Biro Pelancongan Taiwan untuk melihat sendiri usaha keras negara untuk menjadikan Taiwan mesra kepada pelancong Islam.

Aplikasi Halal.TW bukan sahaja menyenaraikan restoran dan hotel yang mendapat pengiktirafan dan sijil makanan halal tetapi turut menyediakan senarai masjid, surai atau lokasi yang dibuka kepada pelancong Islam untuk menunaikan solat.

Di Taiwan terdapat empat jenis persijilan dan logo halal yang dikeluarkan CMA iaitu MR (Muslim Restaurant) yang diberikan kepada kedai makan yang dimiliki oleh orang Islam, MFR (Muslim Friendly Restaurant) yang diberikan kepada kedai yang dimiliki bukan Islam, MFT (Muslim Friendy Tourism) iaitu tempat yang menyediakan kemudahan mesra muslim seperti surau dan MCH (Muslim Certification Hotel) iaitu penginapan dengan kemudahan mesra muslim.

Apa yang lebih membanggakan aplikasi tersebut turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Taiwan apabila memberi geran bernilai TWD950,000 untuk aplikasi Halal.TW terus dibangunkan. - UTUSAN ONLINE