Justeru, perlu ada perancangan mengenai lokasi yang menjadi pilihan.

Mungkin ia pernah dikunjungi sebelum ini atau ingin menjejak semula kenangan lama di lokasi yang sama. Lebih penting, konsep percutian juga menentukan sejauh mana ia nanti akan menyeronokkan atau sebaliknya.

Perkara yang lebih penting, percutian tersebut bergantung kepada bajet yang ada, bentuk percutian sama ada konsep keluarga ekopelancongan atau sekadar membeli belah.

Bagi mereka yang masih tercari-cari di manakah lokasi untuk berkunjung bersama keluarga terutama pada hujung minggu, anda boleh mencuba Movie Animation Park Studios (MAPS) yang terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak.

Anda tidak perlu risau tentang harga tiket masuk kerana bermula 1 Mac lalu, taman tema animasi itu dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Pengunjung hanya akan dikenakan bayaran sekiranya ingin bermain permainan atau menonton persembahan menerusi sistem kupon berharga RM3.

Model bisnes baharu MAPS itu diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini setelah mengambil kira keluhan orang ramai yang merasakan harga tiket masuk ke taman tema itu sebelum ini terlalu tinggi.

Selain kupon dengan harga yang rendah, MAPS juga menawarkan dua bentuk tiket istimewa iaitu MAPS Passport dan MAPS Infinite Pass.

Pengunjung yang membeli MAPS Passport berpeluang menaiki setiap permainan dan tarikan di MAPS untuk sekali sahaja dengan tempoh sah selama 30 hari.

Dengan MAPS Infinite Pass pula, pengunjung boleh menaiki dan menikmati setiap tarikan di MAPS seberapa banyak yang mereka inginkan dalam tempoh sehari.

MAPS dibahagikan mengikut zon iaitu Animation Square, Blast Off Zone, Fantasy Forest Zone, Lakeside Zone dan Live Action Zone.

Anak-anak sudah pasti berasa teruja apabila berada di Animation Zone kerana di situ, mereka berpeluang menemukan watak animasi kegemaran rakyat Malaysia iaitu Boboiboy selain berpeluang melihat sendiri bagaimana siri animasi itu dihasilkan.

Anda bahkan berpeluag merasai pengalaman menonton siri animasi itu dengan pelbagai efek khas di Boboiboy 4D Adventure Theatre yang merupakan antara lokasi wajib dilawati.

Jika ingin menemui watak animasi comel berwarna biru iaitu The Smurfs, pengunjung boleh ke Blast Off Zone yang menyediakan The Smurfs Theatre dan The Smurfs Partyland.

Bagi yang suka merakam gambar, Fantasy Forest Zone adalah pilihan terbaik kerana menyediakan landskap menarik menerusi Upside Down Pyramid dan The Adventurers HQ Tree House.

Di Lakeside Zone, pengunjung berpeluang mencuba aktiviti ekstrem seperti Space X-plorers, Hyperspin dan Asteroid Attack yang pastinya meledakkan hormon adrenalin anda.

Di Live Action Zone pula, pengunjung dihidangkan dengan lagak ngeri seperti high speed chases, high risks stunts dan high octane drifts yang menggunakan kereta dan motosikal.

Tidak menjadi masalah sekiranya seharian meluangkan masa di MAPS kerana taman tema itu turut menyediakan pelbagai restoran dan kafe yang menawarkan menu menarik.

Jika sebelum ini kita hanya dapat menyaksikan Kokotiam Tok Aba di kaca televisyen, namun di MAPS, anda berpeluang melihat sendiri kafe itu di dunia nyata dan merasai hidangan popularnya iaitu Air Coklat Tok Aba.

Bagi memastikan keselesaan anak-anak sepanjang berada di MAPS, anda dinasihatkan membawa topi atau payung bagi melindungi diri daripada cuaca panas yang luar biasa ketika ini.