Sememangnya Lombok merupakan antara destinasi impian penulis, namun perasaan pada awalnya agak bercampur baur sebelum ke sana. Apa tidaknya, Lombok yang turut dikenali sebagai pulau seribu masjid itu baru sahaja ditimpa musibah gempa bumi dan tanah runtuh yang turut meragut nyawa selain merosakkan bangunan dan tempat tinggal.

Tetapi sebaik sahaja menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok pada 1 Mei lalu, perasaan terus berubah, keindahan alam semulajadi, pasir pantai yang memutih serta lautan biru yang mengelilingi pulau nyata begitu mempesona, hilang segala bimbang dan gundah.

Lawatan penulis bersama rakan-rakan media lain dari Malaysia, Singapura, Australia dan Indonesia serta beberapa wakil dari AirAsia itu juga adalah untuk membuat liputan pelancaran Lombok sebagai hab baharu AirAsia di Indonesia selepas Jakarta, Surabaya, Medan dan Bali.

Sebaik selesai pelancaran tersebut yang diadakan pada pagi 2 Mei itu, rombongan kami terus dibawa ke perkampungan Sasak Sade di Lombok Tengah bagi mengenali lebih lanjut tentang budaya, tradisi, kesenian dan kehidupan suku Sasak di Pulau Lombok.

Ketibaan kami di perkampungan tersebut terus disambut dengan keseniaan mempertahankan diri ‘peresehan’ iaitu pertarungan dua lelaki yang menggunakan rotan panjang serta perisai empat segi yang diperbuat daripada kulit lembu.

Kami kemudian meninjau lebih lanjut keunikan rumah di perkampungan tersebut yang diperbuat daripada anyaman buluh dan kayu serta atap tingginya yang menggunakan jerami. Di perkampungan ini juga pengunjung boleh mendapatkan hasil tenunan oleh penduduk wanitanya serta perhiasan tangan. Apapun jangan lupa untuk tawar-menawar!

Seterusnya, kumpulan kami dibawa pula untuk menikmati pandangan indah dan pasir memutih di Pantai Kuta Mandalika dan Pantai Tanjung Aan. Setibanya di Pantai Kuta Mandalika kami mendapati lokasi menarik itu turut dikunjungi oleh masyarakat tempatan yang mengambil peluang untuk beriadah.

Sementara itu tidak jauh dari Pantai Tanjung Aan, kami ke lokasi utama tarikan pelancong ke Lombok iaitu Bukit Merese. Pendakian sebentar pastinya berbaloi sebaik sahaja melihat keindahan alam menakjubkan ketika berada di puncak bukit tersebut.

Kami bernasib baik kerana kunjungan kami tepat pada waktu matahari terbenam. Indah sungguh alam ciptaan Yang Maha Esa. Bergambarlah semahunya di sini, abadikan kenangan. Jika datang berseorangan, jangan bimbang kerana ramai kanak-kanak tempatan yang sudi mengambilkan gambar untuk pengunjung. Kualiti gambar yang diambil juga boleh tahan. Kemudian, berilah wang seikhlas hati kepada mereka.

Keesokan harinya, kami ke perkampungan Sukarara yang merupakan pusat penghasilan tenun songket dan ikat. Selain dapat menyaksi dan belajar sendiri cara menenun songket, pengunjung juga berpeluang untuk menggayakan songket Lombok dan bergambar di hadapan rumah-rumah adat mereka.

Sebelum meluangkan masa membeli-belah di pusat penghasilan mutiara serta pusat cenderahati, sempat juga kami singgah di Kampung Banyumulek iaitu sebuah kampung yang mana penduduknya menghasilkan kraftangan tembikar.