Keputusan melancong ke Bukit Tinggi, Padang Indonesia satu pilihan yang tepat. Perjalanan bertambah mudah kerana rombongan penulis menggunakan ejen pelancongan `Percutian Jimat Belanja’ yang sememangnya berpatutan dengan pemusafiran kami selama empat hari tiga malam.

Air Terjun Lembah Anai di Padang Pariaman kami susuri dalam perjalanan dari Padang ke Bukit Tinggi setelah pesawat mendarat dengan selamatnya di Bandara Antarabangsa Minangkabau, Sumatera. Air terjun yang terletak beberapa meter dari bahu jalan yang berhulu di atas Gunung Singgalang cukup membuatkan penulis rasa terpesona dengan keindahan alam ciptaan Allah SWT.

Dek keseronokan menghayati keindahan sepanjang perjalanan, tidak terasa masa berlalu. Akhirnya, rombongan kami tiba di Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau di Padang Panjang. Kami melawat `Rumah Gadang’ dan penulis serta ahli rombongan lain sempat memakai baju adat yang menjadi baju pengantin masyarakat Negeri Sembilan pada zaman dahulu. Rombongan kami diberi penerangan tentang gaya hidup orang Minangkabau dan fungsi `Rumah Gadang’.

Perjalanan ke Bukit Tinggi diteruskan. Kami dibawa ke tempat-tempat ‘melontar’ istilah yang digunakan oleh Pak Zul yang merupakan pemandu pelancong rombongan kami. Melontar memberi maksud membeli-belah. Kami sempat melontar di beberapa buah kedai. Antaranya Kedai Sulam Putri Minang Pandai Sikek. Pada hari kedua, kami dibawa bertandang ke Istano Basa, Pagar Ruyung. Lagu-lagu lama Minang sentiasa berkumandang dan menggamit kenangan penulis. Sebelum ke Pagar Ruyung, kami melewati desa terindah di dunia dan juga desa tertua di sini iaitu Nagari Pariangan terletak di Tanah Datar. Desa ini sangat nyaman dan sangat cantik. Padi dan kebun sayur melatari kampung yang indah ini.

Seterusnya, Keluk Sembilan pula kami jelajahi. Keluk Sembilan ialah jalan yang memiliki sembilan keluk yang berketinggian 943 meter menuju ke Pekan Baru, Riau.

Usai sarapan, kami meninjau kawasan sekitar di Bukit Tinggi. Sempat berfoto di Memorial Bung Hatta dan menyantuni anak-anak yang berekreasi di hujung minggu. Perjalanan hari ketiga pula, kami menuju ke Danau Maninjau untuk melihat sendiri tempat kelahiran Ulama Nusantara tersohor, Abuya Hamka.

Perjalanan melalui keluk 44 dalam hujan tidak mematahkan semangat kami. Danau Maninjau merupakan danau volkanik yang saujana mata memandang. Di sekitarnya terdapat kemudahan untuk pelancong seperti hotel dan restoran.