Menurut sejarah, Brunei mula dikunjungi bangsa asing bermula dengan kaum Cina pada abad ke-10 diikuti bangsa-bangsa Eropah bermula abad ke-15. Mereka menjadikan Kampong Ayer sebagai salah satu destinasi pelancongan kerana keunikan masyarakatnya yang masih mengekalkan kehalusan budi, keramahan, kreativiti serta keindahan seni budaya mereka.

Antonio Pigafetta (1521), salah seorang penulis barat pernah mencatatkan Bandar Brunei dibina di atas air mengandungi 20,000 keluarga. Francisco de Sande (1578) pula menulis tentang sebuah bandar yang dibina di kawasan perairan dengan bangunan istana raja diperbuat daripada kayu yang cantik. Turut mencatat tentang penempatan di tepi sungai dengan bangunan kayu serta warganya berperahu yang dipanggil ‘bancas’ ialah Boxer Codex (1590-1593).

Kegemilangan empayar Brunei pada Kurun Masehi 1843-1846 mendapat perhatian Edward Belchar, seorang pengembara Barat dengan mengibaratkan Brunei adalah sebuah kota yang dibina di atas air. Bancian penduduk oleh M.S.H. McArthur (Tahun 1911) melaporkan bahawa penduduk Brunei yang pertama berjumlah 21,718 orang dan 10,000 daripadanya tinggal di Kampong Ayer.

PUSAT PEMERINTAHAN

Kampong Ayer menjadi pusat pemerintahan Brunei sehingga akhir Kurun Masihi ke-19. Istana didirikan oleh sultan dengan menempatkan pejabat utama sultan di Balai Penghadapan. Dewan perjumpaan rakyat dijadikan tempat perbicaraan serta tempat menandatangani pelbagai surat perjanjian kerajaan dengan pihak luar.

Lancang, gegandong dan perahu layar merupakan pengangkutan utama di Kampong Ayer. Bahtera dan kapal layar digunakan untuk pelayaran yang jauh. Selain itu, titian daripada kayu dan nibung turut dibina sebagai jalan penghubung antara rumah ke rumah.

SOSIOEKONOMI

Perubahan sosioekonomi Kampong Ayer turut berubah setelah sistem Residen diperke­nalkan pada 1906. Kegiatan menangkap ikan, perusahaan kraftangan, memotong kayu serta mengulit kulit kayu turut terhakis. Menjelang tahun 1970-an kilang ubar serta pembukaan penempatan baharu di darat kian menghakiskan pekerjaan tradisi itu.

Bagaimanapun Kampung Saba dan Kampung Setia masih dilihat mengekalkan aktiviti perikanan dan kraftangan mereka. Peralatan-peralatan tradisional seperti balat, tugu dan andang masih digunakan.

Perubahan demi perubahan berlaku sejajar dengan peredaran masa daripada bentuk ringkas di atas tanah berlumpur kepada struktur binaan yang lebih kukuh. Pemodenan telah merubah wajah dan bentuk rumah di Kampong Ayer.

KUNJUNGAN DIRAJA

Kampong Ayer menjadi lebih istimewa lagi kerana sering dikunjungi oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Putera Mahkota Brunei, Paduka Seri Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. Keberangkatan baginda berdua disambut penuh meriah disamping menerima sembah permintaan dan panda­ngan daripada penduduk di situ.