Terletak di Tapak Warisan Dunia UNESCO Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), The Shore Oceanarium ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Kolam Sentuhan Interaktif, Cabaran Rimba, Pengembaraan Laut, Kisah Sungai, Hidupan Marin Berbahaya dan Fosil Hidup.

Pengunjung yang hadir juga berpeluang untuk memberi makanan kepada kumpulan ikan gergasi sekiranya mereka memilih pakej tertentu ketika memasuki pusat akuarium ini.

The Shore Oceanarium ini juga menjadi pusat akuarium Malaysia pertama yang mempunyai tayangan 3D bagi mereka yang datang berkunjung ke situ.

Dengan menggunakan cermin mata khas 3D, pengunjung boleh menyaksikan tempat-tempat menarik, spesies terancam dan ikan yang pupus dengan lebih nyata seolah-olah ianya benar-benar berada depan mata.

Pusat akuarium tersebut juga sesuai untuk ibu bapa yang mahu anak-anak mereka belajar sambil berhibur memandangkan banyak informasi berguna serta maklumat menarik tersedia di situ.

Pengunjung yang berminat untuk melancong ke Melaka dan datang ke The Shore Oceanarium boleh melayari laman sesawang www.oceanariummelaka.com atau menghubungi talian 062829966 untuk maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE