Pameran itu merupakan sebahagian daripada Siri Seni Balai Seni 2019 yang berfungsi memperkuatkan pembangunan artis tempatan selain bertujuan menggambarkan perjuangan masyarakat, kehidupan rakyat dan menghargai pelbagai tafsiran karya seni halus.

LUKISAN oleh ahli Persatuan Seni Pensil Warna Malaysia.
LUKISAN oleh ahli Persatuan Seni Pensil Warna Malaysia.

Menurut satu kenyataan, pameran tersebut mempamerkan 55 karya seni yang dilakar menggunakan grafit dan tinta di atas kanvas. Karya seni itu disampaikan oleh Arikwibowo Amril, Izzah Nazeri, K. Krishnan, Monica Lee, N. Shanthamathe, Shahbandi Samat, Thangarajoo M.Kanniah dan artis-artis daripada Persatuan Seni Pensil Warna Malaysia serta artis jemputan, S.Amin Shahab.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin berkata, pameran itu menyokong misi sosial berterusan Kumpulan Maybank dalam menghormati usaha kreatif seniman dan seniwati tempatan serta meraikan evolusi karya seni negara.

“Ini merupakan satu langkah positif bagi industri seni tempatan kerana Siri Seni Balai Seni Maybank terus berkembang dari segi jumlah artis, karya seni serta pelawat. Satu lagi faktor utama adalah kepelbagaian karya seni yang dipamerkan terdiri daripada pelbagai disiplin dan kaedah serta himpunan artis-artis daripada latar belakang berbeza,” katanya.

Konsep pameran tersebut menggabungkan norma-norma seni figuratif dan non-normatif, memberikan peminat seni satu pandangan baharu tentang karya seni grafit dan tinta. Buat pertama kalinya Kumpulan Maybank menyediakan satu pameran yang berdedikasi kepada seni grafit dan tinta bertujuan mendidik dan menanam minat seni dalam kalangan orang ramai.

sebuah karya hasil ilham Arikwibowo Amril.
SEBUAH karya hasil ilham Arikwibowo Amril.

Sebahagian daripada karya seni itu boleh dibeli di pameran tersebut dengan harga jualan antara RM300 hingga RM35,000. Sebanyak 20 peratus hasil penjualan karya seni itu akan disumbangkan kepada pelbagai organisasi amal yang disokong oleh Yayasan Maybank.

Balai Seni Maybank secara aktif mendukung artis Malaysia dan antarabangsa sejak penubuhannya pada 1980-an. Beberapa nama terkenal dalam seni tempatan tanah air telah mempamerkan karya seni mereka di Balai Seni Maybank bagi menyokong pembangunan generasi baru pengamal seni visual.

Yayasan Maybank yang ditubuhkan pada 2010 secara aktif menyokong program kemasyarakatan di bawah enam tonggak utama iaitu Seni & Budaya, Pendidikan, Pemberdayaan Masyarakat, Kepelbagaian Alam Sekitar, Hidup Sihat dan Bantuan Bencana.