Ketua kumpulan, Diami Yusoff, 60, berkata, berbeza dengan suasana gurun dan pergunungan di Pakistan, keadaan di sebelah Iran meskipun jalan rayanya cukup cantik namun mereka bertiga seolah memandang saujana lautan.

Malah katanya, keadaan itu juga menyebabkan mereka terdedah kepada bahaya angin lintang tetapi mujurlah belum ada insiden serius berlaku.

Perjalanan melalui kawasan padang pasir di selatan Iran.
PERJALANAN melalui kawasan padang pasir di selatan Iran. - UTUSAN ONLINE

“Jalannya lurus memanjang, tidak ada pokok atau gunung, udara sejuk dan nyaman tetapi beberapa kali motosikal kami ‘beralih’ tanpa kawalan.

“Kalau ada pokok atau tumbuhan lain kita mungkin boleh mengagak terjahan angin yang datang tetapi di sini padang pasirnya kosong, sama ada kami bawa laju atau perlahan risikonya tetap sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Menurut Diami, dia bersama dua rakannya Mohamad Zalani Zulkifli, 64, dan Mohamad Fadli Ab Rashid, 40, bersyukur kerana perjalanan di bahagian selatan Iran ini masih diiringi pasukan keselamatan sama seperti di Pakistan.

Ketua kumpulan Gi Mekoh Nga Mutor, Diami Yusoff (kiri) bersama kanak-kanak Iran ketika melawat Bam i

KETUA kumpulan Gi Mekoh Nga Mutor, Diami Yusoff (kiri) bersama kanak-kanak Iran ketika melawat Bam iaitu salah satu Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). - UTUSAN ONLINE

Katanya, pasukan tentera Iran bersenjata AK-47 dan trak yang turut dilengkapi mesin gan mengiringi mereka dari Nasrat Abad ke Bam.

“Mula-mula rasa rimas sebab tidak ‘bebas’ tetapi bila memikirkan kami terpaksa melalui gurun padang pasir kami rasa lega ada askar yang boleh menolong jika berlaku apa-apa, di sepanjang laluan tidak ada motosikal lain dan kalau ada kereta pun sangat jarang, kami hanya nampak trak-trak panjang membawa kontena.

“Kami tidur dua malam di Bam dan sempat melawat kawasan bandar purba ini termasuk kesan runtuhan akibat gempa bumi lebih 15 tahun lalu yang mengorbankan puluhan ribu mangsa,” katanya.

KETUA kumpulan Gi Mekoh Nga Mutor, Diami Yusoff (kiri) bersama kanak-kanak Iran ketika melawat Bam i
 

Diami berkata, hari ini masuk hari ke-52 misi menuju Mekah dengan motosikal kapcai dan mereka sudah melewati perjalanan lebih 9,000 kilometer dan kini meneruskan tunggangan menuju Roudbar. - UTUSAN ONLINE