Walaupun pertama kali menganjurkan pertandingan memancing di padang golf lapangan Garden, namun sambutan daripada kaki-kaki pancing termasuk kaki-kaki golf dan pengamal media sungguh luar biasa dan di luar jangkaan pihak penganjur.

Pendaftaran yang pada awalnya dihadkan kepada 100 peserta dibuka lagi kepada 270 peserta berikutan sambutan yang menggalakkan daripada penggemar pancing.

Sejam selepas pendaftaran yang hanya dikenakan yuran sebanyak RM20 seorang, para peserta berhimpun berhampiran putting green di hadapan golfers terrace sebelum bergerak ke lokasi pertandingan iaitu kolam lubang 11 par 5 lapangan Garden tepat pukul 8.15 pagi.

Tidak berapa lama selepas itu, bermulalah episod mendebarkan di mana ratusan peserta mula melabuhkan joran sebaik sahaja siren pertandingan dibunyikan.

Seawal tempoh empat jam pertandingan, sudah kelihatan beberapa peserta menaikkan pelbagai spesies ikan air tawar di kolam tersebut.

Menurut Pengurus Kelab GGCC, Nor Afendi Mohd. Razlan, sebanyak 100 ekor ikan pelbagai spesies dilepaskan seminggu sebelum pertandingan memancing bermula antaranya rohu, tilapia, lampam, ketutu dan flowerhone.

Katanya, memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan, pihaknya bercadang mengadakan pertandingan memancing sebagai acara tahunan dengan lebih banyak lagi hadiah ditawarkan kepada pemenang. 
Dalam kejohanan itu, Khairil Affandi Hamdan dinobatkan sebagai juara selepas berjaya menaikkan ikan rohu seberat 1.222 kilogram diikuti Azhar Zainuddin dengan tangkapan spesies ikan sama (1.180 kilogram) dan tempat ketiga milik Ku Shahrulnizam Ku Ishak (ikan rohu 1.090 kilogram).

Dengan kemenangan itu, Khairil Affandi membawa pulang wang tunai RM2,000, Azhar (RM1,000) dan Ku Shahrulnizam (RM500).

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Komiti Perhubungan GGCC, Datuk Osman Abu Bakar.

Selain hadiah kepada pemenang, pihak penganjur turut menyediakan 20 cabutan bertuah iaitu hamper dan sebuah televisyen 32 inci untuk hadiah utama kepada para peserta yang kurang bernasib baik dalam pertandingan memancing.