Ketika itu beliau baharu sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perubatan veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan memilih untuk menimba pengalaman mengendali haiwan liar di zoo.

“Ini pengalaman yang tidak boleh saya lupakan namun sangat berharga kerana berlaku ketika minggu pertama saya bertugas di zoo. Singa betina ini mengalami dystocia (kesukaran melahirkan anak), memandangkan saya petugas baharu dan satu-satunya wanita, semua petugas lain meminta saya untuk menyeluk perut singa ini, alasan mereka tangan perempuan kecil berbanding tangan lelaki,” katanya.

Walaupun merasa gementar memandangkan haiwan itu berada dalam keadaan sedar sepenuhnya, Dr. Natrah, 33, berjaya melaksanakan tugas tersebut namun malangnya anak singa itu telah pun mati dalam perut ibunya.

Kini iaitu selepas 10 tahun, doktor muda ini telah berjaya membuka lima klinik haiwan, iVet Petcare di sekitar Lembah Kelang dengan dibantu 25 orang kakitangan termasuk tujuh doktor veterinar. Beliau turut menyasarkan 10 klinik di bawah syarikat I Vetworks Sdn. Bhd. menjelang 31 Disember tahun depan.

Menceburi bidang perniagaan bukan matlamat asal Dr. Natrah kerana selepas bertugas di zoo dalam tempoh enam bulan, beliau kemudian bertugas di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Asas Tani di Shah Alam, mengendalikan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

“Saya keluar daripada UPM sebagai doktor perubatan veterinar untuk mengendalikan rawatan klinikal dan perubatan, tiba-tiba perlu bertugas di tempat untuk pembangunan usahawan sedangkan saya tidak tahu berniaga. Jiwa saya hanya mahu membuat tugas-tugas klinikal.”

“Namun yang untungnya kita banyak belajar tentang penternak, keusahawanan, cara membuat makanan, masalah jualan dan cara memasarkan produk. Saya belajar melalui pengalaman mereka dan pada masa sama saya juga perlu menjalani pelbagai latihan sebab kena bantu usahawan dan penternak ini,’’ katanya.

Bersyukur terhadap perancangan Allah, Dr. Natrah berkata, banyak yang beliau pelajari ketika bertemu dengan para usahawan dan penternak. Pada masa itu juga beliau mula berjinak-jinak dengan bidang perniagaan dengan membuka klinik haiwan di Seksyen 23, Shah Alam.

“Waktu siang, ibu saya, Radziah Ibrahim akan menjaga klinik saya jika ada yang mahu bertanya tentang rawatan kerana ketika itu saya masih bertugas di jabatan. Malamnya barulah saya melakukan tugas-tugas di klinik,” katanya.

Jelas beliau, langkahnya menceburi bidang perniagaan ini sebenarnya bertitik tolak daripada kerinduan dan keinginan untuk melakukan tugas-tugas klinikal tetapi keputusan untuk bergiat sepenuhnya dalam bidang tersebut dibuat selepas menerima arahan untuk berpindah ke Putrajaya.

Tidak mahu berpindah, Dr.Natrah membuat keputusan berhenti kerja di jabatan itu pada Oktober 2013 dengan persetujuan suami, Ahmad Azid Tahar, 34, yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik manakala ibunya adalah pendorong utama untuk beliau terjun dalam perniagaan memandangkan Radziah, 60, juga pernah bergelar usahawan.

“Ibu menasihatkan saya, sampai bila hendak bekerja makan gaji. Jika hendak berniaga, buat sekarang ketika usia masih muda. Kalau jatuhpun, banyak masa untuk bangkit semula,” katanya yang ketika itu telah mempunyai anak berusia tiga bulan.

Malah ibunya memberi pinjaman awal untuk Dr. Natrah memulakan perniagaan tetapi dengan syarat membayar balik pinjaman itu dalam tempoh enam bulan kerana prinsip ibunya ialah do or die jika mahu menceburi bidang perniagaan.

“Pelanggan pertama klinik saya ialah seekor kucing yang menghidap rahim bernanah. Itupun tiba di klinik semasa saya hendak mengunci klinik selepas siangnya tiada pelanggan. Bayaran pertama saya peroleh RM45. Saya minta pemiliknya bayar berapa yang mereka mampu sebab kucing itu memang tidak boleh diselamatkan,” katanya.

Menurut Dr. Natrah, hari kedua dan ketiga kliniknya kosong tanpa pelanggan dan ketika ini beliau dan suami mula risau jika tidak mampu membayar sewa namun bernasib baik kerana tidak menggaji pekerja lain.

Selepas tiga bulan, perniagaannya mula menunjukkan perkembangan memberangsangkan tanpa sebarang promosi sebaliknya hanya melalui cerita daripada mulut ke mulut dan selepas enam bulan dengan `mengikat perut’ beliau berjaya membayar balik sepenuhnya pinjaman yang diberikan oleh ibunya.

Pada 2014 beliau mula menggambil pekerja dan doktor veterinar lain untuk membantu klinik yang ketika itu penuh sesak dengan pelanggan. Oleh kerana terlalu padat, beliau membuka cawangan klinik iVet Petcare di Seksyen 16, Alam Avenue, Shah Alam seterusnya di Keramat, Kuala Lumpur pada 2016 dan Kinrara pada tahun lalu manakala klinik terbaharu ialah di SS14, Petaling Jaya.

iVet Petcare memfokuskan rawatan khusus untuk kucing selain binatang peliharaan lain seperti arnab, burung, hamster, iguana dan guinea pig melalui rawatan vaksinasi dan pemandulan, pembedahan, diagnosis dengan kelengkapan berteknologi tinggi selain menyediakan wad khusus, grooming dan spa.

Selain itu, I Vetworks Sdn. Bhd. turut memasarkan produk keluaran syarikat itu, Ivetssentials khusus untuk penjagaan dan makanan tambahan haiwan peliharaan dan akan memasuki pasaran antarabangsa tidak lama lagi.

Bercerita tentang kejayaan membina perniagaan tersebut, Dr. Natrah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkata, prosedur operasi standard (SOP) amat penting bagi membolehkan operasi kerja berjalan secara sistematik.

“Amat penting pembayaran dilakukan tepat pada masanya sama ada kepada pembekal atau pekerja. Kita tidak boleh culas. Gaji pekerja tidak boleh buat main-main, cukup masa mesti dibayar dengan cara apa sekalipun. Gaji saya kira kemudian kalau ada lebih baharu hak kita,” katanya yang turut dibantu suami yang kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO). syarikat berkenaan.