Jika berkesempatan, beliau juga akan memberikan sedikit masa untuk masyarakat berswafoto dengannya usai sembahyang Jumaat. Dengan usianya 49 tahun serta jawatan yang disandang, mungkin kedengaran sedikit janggal.

Pun begitu, bagi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tujuannya tidak lain tidak bukan hanya mahu institusi mufti dan kefatwaan lebih dekat dengan masyarakat.

Dahulu, jurang dengan masyarakat dilihat agak jauh kerana jawatan yang disandang sering dianggap terlalu tinggi kedudukannya, namun sejak jawatan itu diamanahkan kepada beliau pada 23 Jun 2014, yang jarak semakin rapat, malah peranan mufti semakin disedari.

Tidak hanya mengupas atau memberi maklum tentang isu atau permasalahan besar, peranan mufti pada masa ini mempunyai skop dan fungsi yang lebih luas selari dengan kewujudan masyarakat yang mempunyai minda dan pemikiran lebih mencabar, ditambah dengan kehadiran platform media sosial.

Mengakui dunia media sosial ketika ini tidak boleh sama sekali diabaikan, jelas Dr. Zulkifli, sebaik sahaja dilantik jawatan sebagai mufti, beliau menggerakkan pasukan merangka unit teknologi maklumat dengan lebih agresif, sebagai persediaan untuk ‘berjuang’ dalam dunia itu.

Menyedari ia bukan satu tugas mudah, beliau dan pasukannya mengukuhkan sudut penyampaian ilmu khususnya berkaitan hukum hakam melalui platform laman web dan media sosial termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

Beliau mewujudkan ruang seperti Bayan Linnas, Irsyad Fatwa, Irsyad Usul Fiqh, Irsyad al-Hadith dan Tahqiq al-Masail.

Ruang berkenaan sebagai melengkapi pendekatan dalam bentuk naskhah yang dikira kurang mendapat perhatian golongan masa kini, yang mahukan informasi pada hujung jari termasuk dalam soal memperjelas hukum.

“Tidak mudah untuk golongan mufti berada dalam dunia seperti ini kerana ia sesuatu yang baharu.

“Saya mengikut pandangan cendekiawan Islam dari Mesir, Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi yang mengatakan, salah satu cara jihad adalah melalui media sosial demi menyampaikan ajaran Islam dan cara itu sangat berkesan.

“Banyak perkara yang berlaku zaman ini tidak berlaku pada zaman dahulu. Masyarakat pula memerlukan jawapan yang cepat, jadi selepas kita menjatuhkan hukum terhadap sesuatu kita akan memuat naik di laman media agar ia mudah dikongsi dan dicari.

“Malah sebelum ini, pandangan saya tentang penggunaan alat moden seperti segway atau hoverboard ketika tawaf, serta hukum bermain permainan Pokemon turut digunakan dan tersebar hingga ke negara luar.

“Jadi, di situ menunjukkan betapa pentingnya dunia media sosial dalam menyebarkan ilmu,” jelasnya sambil memberitahu sejak laman sesawang pejabat mufti dinaik taraf, lebih 9.9 juta pengunjung melawatinya dalam tempoh empat tahun.

Zulkifli yang sebelum ini pernah mengutus surat terbuka kepada selebriti dan Instafamous seperti Neelofa, Uqasha Senrose, Iqram Dinzly dan terbaharu Faiz Roslan, berkata, adalah sangat penting untuk menyantuni golongan yang dianggap masyarakat sebagai ‘tidak bersih’ agar dapat dibantu.

Jelasnya, melihat bagaimana ulama-ulama besar ketika berada di tanah Arab menyantuni golongan berkenaan termasuk melalui pendekatan bersama masyarakat, membuatkan Zulkifli cuba mewujudkan hubungan yang sama.

Ditanya adakah pendekatan berkenaan membuka ruang golongan mufti menjadi mangsa kecaman warganet (netizen), jawapan beliau mudah.

“Semuanya bergantung kepada cara penyampaian dan penulisan dibuat. Semua isu yang dikupas, ditegur, disampaikan kepada masyarakat selepas melalui proses kaji selidik dan sepakat.

“Misalnya isu Faiz Roslan baru-baru ini, sebelum saya menulis surat teguran, saya akan pastikan pasukan saya menyiasat terlebih dahulu kesnya bagi mendapat gambaran jelas dan selepas itu baru kita keluarkan teguran yang bersifat mendidik dan mengajar.

“Jadi, hasilnya saya lihat masyarakat memilih untuk tidak memberi kecaman apa yang kita tegur kerana dilakukan dengan penuh adab.

“Kita tidak nafikan hukum adalah hukum tetapi untuk melaksanakan perlu lihat suasana kejahilan atau kefahaman individu itu,” katanya.

Minat ilmu agama sejak kecil

MEMINATI bidang agama sejak pada bangku sekolah menengah, akui Dr. Zulkifli, melihat bapa serta abang-abangnya yang berada dalam bidang agama mendorong minatnya untuk turut bergelar ahli agama.

Jelasnya, yang pernah menyambung pengajian di Universiti Islam Madinah dan Universiti al-Ulum al-Islamiah wa al-Arabiah di Damsyik, Syria, kekaguman terhadap bahasa Arab juga menyebabkan beliau amat tertarik untuk mengikuti ilmu agama secara lebih mendalam.

“Ketika di sekolah, saya suka tengok ustaz atau mereka yang terlibat dalam jabatan syariah bercakap Arab sesama mereka.

“Malah, sekolah saya juga pernah dikunjungi tokok-tokoh agama dari luar negara dengan lengkap berpakaian jubah dan serban.

“Saya tertarik dengan perwatakan dan cara mereka, lebih-lebih lagi selepas melihat ustaz-ustaz saya bercakap bahasa Arab. Ketika itu, saya nekad untuk berada dalam bidang agama dan bergelar ‘ulama’ suatu hari nanti.

“Tambah bersemangat apabila abang-abang saya yang menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir, setiap kali pulang akan bawa pulang buku-buku dari sana,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Dr. Shereen Mohd. Yunos dan dikurniakan lima anak.

Pengalaman mengikuti usrah bersama senior membolehkan beliau mengembangkan ilmu yang dimiliki sehingga diberi penghormatan untuk memberi ceramah di beberapa buah surau dan masjid sekitar rumahnya di Kuala Terengganu, walau ketika itu masih dalam usia remaja.

Namun beliau mengakui, sejak usia muda tidak banyak peluang ‘bersantai’ seperti remaja lain seperti bersukan dan menonton televisyen, keadaan itu sama sehingga kini.

“Masa yang saya ada memang sangat terhad termasuk bersama keluarga kerana kebanyakan masa terluang saya ada kuliah dan perlu memberi ceramah merata tempat,” katanya.