Memang ramai yang tahu bahawa Mines Golf Resort cukup terkenal dalam kalangan pemain-pemain golf, bukan sahaja dalam negara bahkan dari luar negara. Malah Tiger Woods sendiri pernah dua kali beraksi di situ iaitu pada 1999 dalam kejohanan golf Piala Dunia bergandingan dengan Mark O’Meara dan pada 2012 ketika menyertai kejohanan CIMB Classic.

Selepas penyertaan Tiger Woods, Kelab Golf Mines Resort yang diasaskan oleh Tan Sri Lee Kim Yew terus mengekalkan status ‘eksklusifnya’ sehingga membibitkan keinginan di hati para pemain golf untuk beraksi di situ. Orang luar atau pelawat yang berhasrat untuk bermain di Kelab Golf Mines Resort ini boleh lupakanlah hasrat itu. Ini bukan kerana harganya mahal, tetapi kelab golf ini hanya untuk ahli-ahlinya sahaja.

Bagaimanapun, selepas pihak Kumpulan Zikay mengambil alih pengurusan golf, orang luar kini diberi peluang untuk bermain dan merasai sendiri lapangan hasil rekaan Robert Trent Jones Jr. dari Amerika Syarikat, dengan hamparan rumput bermuda greenless park (gip) pada fairway dan tiffdwarf di permukaan green.

Walaupun membuka peluang kepada orang luar, pihak pengurusan Kumpulan Zikay juga turut mengekalkan keutamaan terhadap ahli-ahli kelab tersebut.

Menurut Pengurus Besar Mines Golf Management (M) Sdn. Bhd., Mahfuz Omar, sejak mengambil alih pengurusan pada 1 Januari 2017, Kumpulan Zikay mula mengamalkan konsep terbuka dengan membenarkan ahli kelab membawa tetamu untuk bermain di kelab golf ini.

Selain itu katanya, turut diperkenalkan konsep baharu keahlian tahunan (term membership) dan pihaknya membuat promosi pada harga RM300 ke atas tetapi tidak melebihi RM500 untuk seorang berbanding harga dahulu yang melebihi RM500.

Jadi tambah beliau, dengan harga baharu ini mereka percaya golongan kelas pertengahan mampu untuk bermain golf di Mines yang dianggap sebuah kelab cukup eksklusif dan susah untuk bermain di situ kalau bukan ahli.

“Dengan harga baharu ini juga secara tidak langsung menambahkan lagi jumlah yang bermain golf di sini di mana kalau dahulu antara 800 hingga 900 orang, kini sudah mencecah 1,800 orang sebulan.

“Begitu juga dengan kejohanan yang diadakan oleh syarikat-syarikat korporat atau kejohanan golf amal. Dahulu kita terlampau mahal dan sekarang kita lebih mesra dengan harga yang sama iaitu di bawah RM500 bagi mana-mana syarikat yang ingin mengadakan kejohanan golf di sini.

“Bagaimanapun kita terpaksa mengehadkan kejohanan ini sebanyak tiga atau empat kali setahun bagi menjaga kondisi lapangan dan green selain mengekalkan status eksklusif kelab golf ini,” katanya ketika ditemui kelab berkenaan baru-baru ini.

Menurut Mahfuz, pihaknya membelanjakan kira-kira RM200,000 sebulan kepada satu pihak pengurusan untuk menjaga kualiti padang Mines Golf Resort yang sudah berusia 24 tahun.

“Kita sudah bayar secara kontrak kepada pihak pengurusan padang golf untuk mengekalkan, malah kalau boleh meningkatkan lagi kualiti padang golf ini dengan mengikut apa yang kita mahu.

“Sebagai contoh, lapangan golf ini adalah resort golf, maka sepatutnya ia tidak menyukarkan pemain ketika beraksi di sini. Biar pemain golf seronok bermain di sini,” ujarnya.

Seperti kelab-kelab yang lain, Mines Golf Resort juga menyediakan pelbagai fasiliti seperti restoran, dewan, bilik persalinan dan banyak lagi untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pemain.