Menurut satu kenyataan, pokok yang ditanam boleh dijadikan perhiasan di mana-mana sudut di kediaman, ruang kedai dan pejabat.

“Berbeza dengan bonsai, jenis tanaman yang sesuai untuk kokedama terhad kepada tanaman herba, renek dan berbatang lembut sahaja,” kata pelajar tahun akhir Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Nur Anis Alya Rospe, 22, di Shah Alam, baru-baru ini.

Dia dan sekumpulan 29 sukarelawan UM dari Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah mengendalikan bengkel kokedama bersama 50 pelatih di Rumah Puteri Arafiah, Shah Alam, Selangor.

“Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada program kemasyarakatan tahunan, Jejak Inspirasi oleh pelajar UM yang fokus kepada segmen masyarakat yang agak terpinggir iaitu penghuni di rumah-rumah perlin­dungan wanita.

“Program ini diadakan buat pertama kali pada 2018 di mana kami menyantuni pelatih di Pusat Perlindungan Dar Assa’adah, Kuala Lumpur,” kata Nur Anis Alya Rospe merangkap pengarah program.

Menurutnya, program itu merupakan inisiatif yang seiring dengan usaha pusat perlindungan tersebut dalam menyediakan pelatihnya dengan asas kemahiran tertentu untuk membina kehidupan yang lebih positif.

“Secara tidak langsung, program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dengan masyarakat dan ini bakal memberi input yang positif dalam pembinaan insaniah sukarelawan yang terlibat,” tambahnya.

Selain mempelajari seni tanaman kokedama, pelatih turut didedahkan dengan teknik etika pemakanan formal, pembangunan perniagaan dan penjagaan serta penampilan diri oleh wakil syarikat tatarias, Mary Kay. Peserta turut diajar cara-cara penyediaan Vietnamese roll dan biskut epal sebelum diakhiri dengan slot motivasi diri kendalian Muhammad Luqman Hakim Othman, juara program realiti Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan UM, Dr. Khairunnisa Hasikin, 33, yang juga penasihat program, berkata, program menyantuni masyarakat merupakan kaedah yang sesuai dan banyak diaplikasikan dalam usaha pembangunan mahasiswa.

“Program ini agak berbeza dan disebabkan itu kami memilih untuk mengadakannya bersama penghuni rumah perlindungan wanita yang kami dapati jarang disantuni mahasiswa universiti,” katanya.

Menurutnya, walaupun kejayaan pelatih-pelatih menyesuaikan diri kembali ke pangkuan masyarakat bergantung kepada usaha mereka sendiri, namun sekurang-kurangnya mereka dibekalkan dengan sedikit pengetahuan yang relevan untuk memulakan kehidupan baru kelak.

“Sambutan mesra yang diberikan pelatih dan pengurusan Rumah Puteri Arafiah membuktikan bahawa pengisian program sebegini adalah sesuatu yang diperlukan.

“Saya percaya kami mampu memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja untuk berjaya. Dengan disokong oleh sedikit kemahiran yang relevan dan bermanfaat, tentu impian akan menjadi kenyataan,” tambahnya.