Jiwanya memberontak inginkan lebih cabaran, apatah lagi anak bongsu daripada tiga beradik ini memang dikenali dengan kehebatannya dalam berkata-kata.

Akhirnya Amy Nur Tinie Abdul Aziz atau Tinie mengambil keputusan menyertai pertandingan ratu cantik tidak kira dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

“Sekadar modelling seakan tidak puas sebab saya tidak dapat menonjolkan diri dan bakat yang sebenar.

“Tetapi, melalui pertandingan ratu cantik, kita berpeluang bersuara, berkongsi perkara-perkara positif selain memberi kesedaran kepada masyarakat tentang sesuatu perkara,” katanya.

AMY NUR TINIE ABDUL AZIZ

Itulah kemahiran dan kepakaran Tinie yang bijak menjawab soalan yang dilontarkan dengan baik dan spontan. Malah, segmen soal jawab adalah antara yang digemari dan keyakinan dirinya lebih meningkat sekiranya dapat berkata-kata.

“Saya memang suka bercakap, malah mewakili sekolah dalam pertandingan pidato, bercerita dan pengucapan awam. Saya selesa berada di depan dan menarik perhatian khalayak dengan hujah-hujah saya.

“Jika hanya melihat kecantikan, ramai lagi yang lebih cantik. Jadi, saya perlu mencari kelainan dan bercakap adalah kekuatan saya.

“Ia dapat mengatasi darah gemuruh dan membina keyakinan setiap kali buat penampilan di tempat terbuka,” katanya.

Tinie yang menceburi bidang peragaan sejak usia empat tahun bagaimanapun ingin meneroka bidang lain yang mampu mencabar dirinya, selain meneruskan perniagaan keluarga.

Kini, anak kacukan Melayu-Arab ini mencuba nasib dalam bidang pengacaraan melalui rancangan Tumit Tinggi di TV1. Rancangan yang lebih fokus kepada wanita-wanita bekerjaya itu bersiaran pada pukul 12 tengah hari, setiap Ahad.

“Peragaan dan pengacaraan, kedua-duanya adalah bidang yang diminati sejak kecil. Sebolehnya saya tidak mahu melepaskan kedua-duanya,” kata Tinie.

Kini, Tinie menceburkan diri pula dalam perniagaan makanan dengan mengeluarkan produknya sendiri iaitu Sambal Pedas Ratu Ant (Amy Nur Tinie), Sambal Pedas Ikan Bilis Mata Biru, Sambal Pedas Ikan Masin Berlada , Popiah Simpul Kasih Ratu dan Popiah Cheese Ratu.

Produk makanan yang diusahakan bersama ibunya, Salimi Morah Ali itu adalah resepi turun temurun daripada keturunan Rawa dan semuanya dimasak sendiri oleh mereka.

“Mulanya saya hendak membuat produk penjagaan wajah dan mekap, tetapi kemudian beralih kepada makanan apabila melihatkan senario sekarang yang terlalu ramai usahawan mengeluarkan produk kecantikan.

“Berbeza dengan makanan. Biarpun banyak produk makanan tempatan tetapi selagi orang tidak berhenti makan, selagi itulah wujudnya pasaran dalam industi makanan,” katanya.

Dalam masa sama, Tinie juga membantu ibunya menguruskan perniagaan keluarga iaitu Salimi Academy Wedding, Salon & Spa di Ipoh, Perak.

Malah, dia dan dua kakaknya sudah didedahkan dengan perniagaan ini sejak dari kecil lagi. Masanya juga banyak dihabiskan di akademi ini selepas waktu sekolah bagi membantu ibunya membuat rawatan rambut dan muka.

“Sebelum ini kakak yang banyak uruskan perniagaan ini. Namun, selepas mereka memiliki keluarga sendiri, ibu serahkan urusan perniagaan kepada saya.

“Semua kerja di akademi akan dilakukan bersama ibu tidak kira memasang pelamin, membuat rawatan kecantikan, mendandan rambut dan menjahit pakaian pengantin, kami boleh lakukan biarpun ada pekerja sendiri.

“Memang menarik kerana pengalaman dan peluang yang diberikan ibu banyak membantu saya menguruskan perniagaan dengan baik hingga hari ini,” katanya.

Oleh itu, Tinie agak keberatan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur kerana komitmennya terhadap perniagaan tersebut. Dia sanggup berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur setiap kali mempunyai tugasan modelling mahupun pengacaraan.

“Penat memanglah penat tetapi saya sudah biasa. Saya tidak boleh meninggalkan perniagaan di Ipoh kerana tiada siapa yang boleh diharapkan lagi untuk membantu ibu.

“Setakat ini, tidak timbul lagi sebarang masalah. Pihak produksi Tumit Tinggi juga akan mengatur penggambaran mengikut kelapangan saya,” katanya.