Kajian ahli sejarah menunjukkan pusat pentadbiran empayar ini yang terletak di Angkor merupakan sebuah metropolis purba pra-industri yang terbesar di dunia pada zaman kegemilangannya sekitar kurun ke-11 dan ke-13.

Pemerintah dan penduduknya digambarkan mempunyai nilai ketama­dunan yang terkeha­dapan dan antara lainnya diterje­mahkan ke dalam bentuk nilai estetik budaya dan seni bina yang tinggi.

“Pening­galan nilai estetik tamadun ini masih boleh dilihat dalam beberapa aspek budaya rakyat Kemboja masa kini termasuk kain tenunan sutera.

“Industri yang semakin pupus ini dilihat berpotensi untuk diketengahkan sebagai industri kecil dan sederhana sebagaimana yang diusahakan oleh sebuah perusahaan sosial tempatan, Color Silk,” kata Muhammad Hidayat Fahmi Shahrom Fahmi, 22.

Dia merupakan mahasiswa tahun akhir jurusan Kesusasteraan Inggeris, Universiti Malaya (UM) yang turut terlibat dalam program kemasyarakatan di Kemboja baru-baru ini.

Muhammad Hidayat dan sembilan sukarelawan dari pelbagai negara ASEAN berada di wilayah Takeo selama dua minggu bagi melaksanakan program kemasyarakatan yang diadakan bertujuan memperkasa rakyat tempatan melalui inisiatif keusahawanan sosial.

Program yang dinamakan Silk Wave itu merupakan sebahagian daripada siri program kemasyarakatan melibatkan 100 sukarelawan ASEAN di Malaysia, Indonesia dan Kemboja. Ia dianjurkan Yayasan ASEAN dan Yayasan Maybank.

Antara lain tujuan program itu adalah untuk memberi pendedahan dan hak upaya kepada masyarakat tempatan untuk sama-sama memelihara industri tenunan tradisional Khmer.

“Selain komuniti penenun dalam kalangan penduduk kampung, kumpulan kami juga berinteraksi dengan pelajar sekolah dan pelancong di sekitar kawasan ini bagi mengukur dan menentukan kesesuaian usaha seterusnya dalam mengekalkan identiti Khmer dari aspek seni tekstil.

“Secara tidak langsung usaha ini dapat menyediakan satu platform pemasaran untuk industri tenunan sutera di Kemboja yang mapan dan berdaya saing,” kata Muhammad Hidayat.

Dia berharap projek itu dapat diperluaskan lagi pada masa hadapan di wilayah-wilayah lain di Kemboja dengan kerjasama Yayasan ASEAN, Yayasan Maybank, Color Silk dan pihak-pihak lain dalam usaha memelihara identiti tradisi tenunan Khmer.

Menariknya, dengan kerjasama petani tempatan, program Silk Wave berjaya membina sebuah ladang kecil bagi menanam tumbuhan dan tanaman yang menghasilkan bahan pewarna untuk industri tenunan sutera.

Sebanyak 100 pokok telah ditanam bagi menghasilkan spektrum warna yang diperlukan bagi membuat kain tenun sutera beridentiti Khmer asli dengan nilai estetika yang tinggi. Sebuah muzium ekopelancongan juga bakal dibina di lokasi penanaman itu dalam waktu terdekat ini.

Dalam pada itu, majlis hari terbuka itu turut diadakan sebagai tanda penutup program Silk Wave. Majlis itu dihadiri penduduk tempatan termasuk pelajar Sekolah Menengah Phnom Chisor.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengurus Maybank cawangan wilayah Takeo, ketua-ketua kampung dan komuniti.

“Silk Wave merupakan projek unik yang bukan sahaja meningkatkan industri tenunan sutera asli, malah mampu melahirkan kesedaran tentang kepentingan industri tersebut dalam kalangan penduduk tempatan sekali gus meningkatkan kadar import dan eksport yang memanfaatkan ekonomi komuniti tempatan,” kata pengasas program Color Silk, Vanntha Ngorn, 44.

Menurutnya, inisiatif yang dijalankan itu telah membuka mata penduduk tempatan mengenai kepentingan menyokong industri tenunan sutera asli yang merupakan identiti unik masyarakat Kemboja yang seharusnya dipelihara.