Ada juga yang turut memakaikan inai pada jari kaki.

Pada ketika itu, daun inai dipetik dari belakang rumah sahaja. Daun itu kemudian ditumbuk menggunakan lesung batu atau digiling bersama sedikit arang dan gambir bagi mendapatkan warna merah menyala dan tahan lebih lama.

Dengan peredaran zaman yang menjadikan masyarakat kini semakin moden, pelbagai pembaharuan dilakukan bagi menjadikan proses malam berinai menjadi begitu mudah dan tidak perlu berhadapan situasi rumit bagi berinai.

Menyedari hal ini, pelukis inai tangan profesional, Maizatulshima Mohd. Ramdan, 34, memberitahu, bakal pengantin kini tidak hanya mewarnakan jari dengan inai, sebaliknya bahagian belakang tapak tangan turut dilukis dengan pelbagai motif yang menarik menggunakan cat lukisan badan.

Memandangkan masyarakat kini agak cerewet, katanya, dia perlu bijak dan kreatif memenuhi trend semasa yang mengalami perubahan terhadap corak lukisan inai di tangan.

Jika dahulu katanya, corak biasa sudah dapat memuaskan hati bakal pengantin atau penggemar lukisan inai, kini keadaan berubah apabila lukisan corak yang rumit mendapat permintaan tinggi.

Kesungguhan Maizatulshima menceburi bidang lukisan inai secara sepenuh masa sejak berusia 15 tahun telah membantunya mendapatkan ilham terkini bagi memenuhi permintaan pelanggan.

‘‘Saya membesar dalam budaya malam berinai yang begitu meriah kerana keluarga di sebelah ayah berasal dari Pakistan. Minat yang mendalam terhadap seni lukisan inai menambah kreativiti sehingga saya berani mencipta pelbagai corak lukisan inai pada tangan pelanggan,’’ ujar wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Tambahnya, segelintir wanita tidak suka mengenakan inai berwarna merah menyala kerana kekangan pekerjaan dan mengambil masa untuk hilang.

Sehubungan itu, dia turut menghasilkan inai berwarna putih dan warna lain bagi memenuhi permintaan pengantin.

‘‘Ia dinamakan lukisan cat badan dan lebih kepada hiasan tangan. Saya menggunakan inai berwarna putih bagi mengelakkan tangan pengantin kelihatan kosong dengan corak-corak yang menawan,’’ ujar Maizatulshima.

Kongsinya lagi, permulaan dia memperoleh idea untuk menghasilkan inai berwarna biru adalah daripada permintaan seorang rakan yang menyediakan perkhidmatan perkahwinan, Man Kajang.

Beliau mahu menghasilkan corak inai yang berpadanan dengan busana pengantin yang ketika itu menyarung pakaian berwarna biru.

‘‘Saya menggunakan cat khas untuk mencorakkan setiap ukiran. Ia selamat kerana tidak mengandungi bahan kimia dan lebih bersifat seperti gam. Penggunaan bahan ini mampu bertahan sehari hingga dua hari bergantung kepada cara penjagaan,”ujarnya.

‘‘Berbanding inai biasa di jari, corak lukisan ini menggunakan cat badan. Proses melukisnya agak rumit kerana perlu disediakan pada hari yang sama dengan majlis berlangsung. Setelah siap menghasilkan seni ukir pada tangan, saya perlu meletakkan sedikit serbuk kilauan dan menyusun batu-batu berlian,’’ kongsinya.

Tambahnya, dia memerlukan masa sekurang-kurangnya dua jam untuk meneliti dan melengkapkan corak pada tangan pengantin.

Menyedari sifat cat itu mudah tertanggal, dia perlu menunggu pelanggannya siap mengenakan busana pengantin agar tidak terkena pada bahagian yang boleh menyebabkan corak itu rosak.

Sementara itu, wanita yang memiliki bakat dan kemahiran dalam seni lukisan tangan itu memberitahu bahawa kebanyakan corak yang dihasilkan adalah mengikut warna busana pengantin.

‘‘Baju pengantin memberikan inspirasi kepada saya untuk menghasilkan corak. Jadi, sebelum melukis, saya akan melihat terlebih dahulu baju pengantin bagi menghasilkan corak yang bersesuaian dan tidak kelihatan begitu pelik.

“Corak yang menjadi kegemaran pelanggan adalah bunga, lace dan net kerana corak tersebut mampu memberikan kesan seolah-olah seperti memakai sarung tangan,’’ katanya sambil memberitahu harga yang ditawarkan bermula daripada RM250.

Menyentuh mengenai kes tular dalam laman sosial yang mengatakan lukisan inai pada tangan boleh menyebabkan masalah kegatalan serta merosakkan kulit, dia komited bahawa setiap inai yang dihasilkan adalah selamat kerana akan melalui proses pengujian kepada diri sendiri terlebih dahulu.

‘‘Bagi inai berwarna merah, saya hanya menggunakan inai yang terbaik iaitu campuran serbuk inai dengan inai yang diimport khas dari Pakistan.

“Masalah yang tidak dijangka boleh berlaku apabila kulit pelanggan sensitif,’’ ujarnya.