Dalam fotografi, susun atur subjek amat dititik beratkan termasuk elemen latar hadapan ini. Seumpama rumah yang sudah siap dibina dan cantik, jika dihias akan bertambah cantik lagi rumah tersebut. Apapun latar hadapan ini tidak tertakluk kepada subjek tertentu dan sifatnya umum bergantung gambar yang dirakamkan.

Latar hadapan juga boleh digunakan sebagai subjek cerita seperti contoh gerai menjual bunga. Subjek bunga boleh dijadikan sebagai latar hadapan manakala penjual bunga sebagai subjek kedua.

Komposisi yang menarik akan menghasilkan gambar lebih cantik. Bagi fotografi landskap penulis berpendapat latar hadapan tidak diperlukan kerana pandangan mata tertumpu pada keseluruhan panorama. Begitu juga jika mahu merakam gambar bangunan tinggi, sudah tentu tumpuan lebih kepada bangunan.

Latar hadapan juga boleh anggap sebagai pelengkap pada gambar. Bak kata seniman Tan Sri P.Ramlee irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Gambar akan menjadi kaku tanpa latar hadapan. Sebab itu ada ketikanya jurufoto profesional sanggup bersusah payah mencari latar hadapan bagi melengkapkan foto rakamannya.

Jadi di sini dapat lihat betapa pentingnya elemen latar hadapan dalam sekeping gambar. Selain itu latar hadapan boleh menceritakan mengenai gambar itu sendiri.

Latar hadapan tidak terikat dengan subjek tertentu sebaliknya subjek seperti manusia, pokok dan haiwan boleh diletakkan untuk mengindahkan lagi seni fotografi. Gunakan pelbagai teknik asas fotografi yang dipelajari termasuk meletakkan elemen latar hadapan untuk menghasilkan gambar lebih cantik, menarik dan hidup. Semoga dengan beberapa tip yang diberikan ini dapat memberi manfaat kepada peminat fotografi yang mengikuti ruangan ini.