Menariknya, setiap generasi diperkenalkan dengan watak Ultraman yang berbeza mengikut garis waktu yang ditayangkan di negara ini.

Sebagai contoh, kanak-kanak pada era awal 1990-an pasti tidak dapat melupakan watak Ultraman Ace yang mencetuskan fenomena ketika itu.

Pada pertengahan 90-an pula, stesen televisyen menayangkan siri Ultraman Seven dan Ultraman Taro iaitu adik-beradik kepada Ultraman Ace.

Kanak-kanak yang membesar antara tahun 2000 dan 2010 kemudian diperkenalkan dengan watak-watak Ultraman era baharu seperti Ultraman Tiga, Ultraman Dyna dan Ultraman Kosmos.

Watak-watak Ultraman itu yang berkembang dan berevolusi mengikut peredaran masa menjadikannya unik berbanding siri adiwira lain.

Oleh itu, tidak dapat dinafikan siri Ultraman meninggalkan kesan mendalam kepada sebahagian daripada kita.

Salah seorang yang terkesan dengan ‘demam’ Ultraman ialah Muhammad Saiful Iskandar Ismail, 24, yang kini memiliki lebih 80 figura aksi Ultraman termasuk Kaiju atau sering dipanggil oleh masyarakat kita sebagai raksasa.

Menurut juruvideo dari sebuah agensi media itu, dia mula mengumpul figura aksi Ultraman pada 2014 ketika masih menuntut di sebuah kolej di Terengganu.

Melihat rakannya yang membeli figura aksi Ultraman menerusi dalam talian ketika itu, Muhammad Saiful Iskandar turut terpengaruh berbuat demikian memandangkan dia juga sangat meminati adiwira tersebut.

Figura aksi pertama yang dibelinya adalah Ultra-Act Ultraman Ginga dengan harga RM135 dari Jepun.

Pembelian pertama itulah yang membawa kepada ‘ketagihannya’ untuk mengumpul figura aksi Ultraman sehingga kini.

“Bermula daripada pembelian pertama, saya mula pandai membeli figura aksi secara dalam talian sehingga kini. Kebanyakannya dibeli melalui laman sosial Facebook.

“Sehingga kini saya telah menghabiskan kira-kira RM15,000 untuk mengumpul figura aksi Ultraman serta barangan mainan lain yang berkaitan.

“Figura aksi ini ada yang asli dan ada yang tidak (third party). Saya lebih ke arah membeli yang asli iaitu keluaran Bandai Tamashii Nations,” katanya kepada S2 ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Muhammad Saiful Iskandar yang juga Presiden Ultraman Maniac Malaysia iaitu sebuah pertubuhan yang menghimpunkan peminat-peminat Ultraman, koleksinya yang paling unik adalah Ultra-Act Golza.

Ultra-Act Golza adalah watak Kaiju atau raksasa yang merupakan musuh dalam siri Ultraman Tiga.

Katanya, walaupun terpaksa menghabiskan kira-kira RM900 untuk mendapatkan figura aksi tersebut, namun dia sangat berpuas hati kerana pembuatannya sangat teliti dan agak sukar untuk diperoleh.

“Selain minat yang mendalam terhadap Ultraman, tujuan lain saya mengumpul figura aksi ini adalah untuk mengembalikan kenangan semasa zaman kanak-kanak.

“Dahulu..., ketika kanak-kanak saya tidak mampu membeli. Bila sudah bekerja inilah masanya untuk saya menunaikan hasrat yang tertangguh.

“Apapun saya tetap mendahulukan keperluan, kemudian baru kehendak. Saya akan tunggu masa yang sesuai untuk membeli figura aksi yang baharu,” katanya.

Selain figura aksi, Muhammad Saiful Iskandar juga memiliki koleksi lain seperti alat pertukaran serta perkakas lain yang menyokong transformasi Ultraman.

Seperti yang dapat ditonton dalam siri Ultraman, alat pertukaran adalah alat yang digunakan untuk bertukar daripada bentuk manusia kepada Ultraman.

Mengulas mengenai Ultraman Maniac Malaysia, Muhammad Saiful Iskandar berkata, aktiviti yang sering dilakukan sesama ahli ialah perjumpaan sambil bertukar-tukar koleksi, berbincang tentang produk baharu di pasaran serta menyertai acara-acara yang melibatkan hobi.

Jelasnya, hobi mengumpul figura aksi bukan setakat untuk disimpan atau ditayangkan dalam almari, sebaliknya ia juga boleh dijadikan video ‘stop-motion’ seperti siri animasi.

“Malah jika dimanfaatkan dengan betul, aktiviti stop-motion ini mampu menjana pendapatan apabila kita memuat naik dalam YouTube atau Facebook.

“Hobi mengumpul ini mungkin dilihat sesetengah orang sebagai suatu pembaziran, namun bagi saya ia memberikan kepuasan lebih-lebih lagi apabila dapat berkongsi minat sama dengan orang lain,” ujarnya.