Dalila mengimbau kembali kenangan sepanjang tiga tahun lalu. Bagaikan melihat dirinya sendiri di dalam filem yang diulang tayang, timbul kekesalan di hatinya. Dia ditakdirkan memiliki rupa paras yang menarik tetapi naif, membuat ramai lelaki mengambil kesempatan. Sikap Dalila yang lurus dan mudah mempercayai orang sering membuat dirinya kecewa di alam percintaan. Sejak di zaman remaja sehingga alam pekerjaan, Dalila belum pernah menemui cinta sejati. Tidak seperti kisah novel cinta atau siri telenovela, pengakhiran cinta Dalila sungguh menyimpang daripada kebahagiaan yang menjadi dambaan wanita. Perhubungan yang nampak sempurna pada awalnya kian gersang dan akhirnya putus bersama garis waktu.

Episod duka membuat Dalila membuat keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur. Menanamkan tekad untuk tidak mempercayai lelaki dan menutup pintu hati untuk cinta. Penghijrahan dan tekad inilah yang memulakan segala-galanya. Sinar baru yang diimpikan tidak ditemui di hujung terowong, sebaliknya awan hitam menutupi dirinya.

Kuala Lumpur bukanlah asing baginya kerana di sini dia mendapat pendidikan. Sifatnya yang peramah dan rajin membantu memudahkan Dalila menyesuaikan diri di tempat baru.

“Dalila, boleh awak jumpa Jack budak IT. Hari itu awak bagi tahu laptop, ada masalah kan?”

“Bukan laptop tetapi sistem perisian,” jawab Dalila.

“Apa-apalah, nanti awak bagi tahu Jack masalahnya,” pesan Kak Imah, ketua Dalila.

Sebaik tiba di pusat IT, Dalila tercari-cari Jack. Tidak ramai staf di situ, hanya ada dua orang tetapi kedua-duanya perempuan.

“Mana pulak Jack ni, tak ada lelaki pun,” bisik hati Dalila.

“Ya..., cari siapa cik adik?” Tanya salah seorang staf di situ.

“Jack,” balas Dalila.

“Oh Jack, nun di situ,” tunjuknya kepada staf yang seorang lagi sambil tersenyum.

Dalila menceritakan kekeliruannya sebentar tadi kepada rakan-rakan sepejabat. Menurut mereka Zaleha adalah nama sebenar Jack, jurutera IT.

Suatu petang Dalila dan dua rakannya terserempak dengan Jack di kafe pejabat. Jack datang ke meja mereka menyertai perbualan sambil berkenalan lebih rapat dengan Dalila. Perwatakan Jack menyerupai lelaki, dengan gaya percakapan dan gerak langkahnya. Namun dari segi pakaian, tidaklah menampakkan kelakian. Dalila sering melihatnya berbaju 
kurung, manakala kalau berpakaian jeans dan baju-T sekalipun, pakaian tersebut sesuai untuk wanita.

Sejak hari tersebut, Jack dan Dalila semakin rapat. Kadangkala cuti hujung minggu mereka berdua keluar menonton wayang atau membeli-belah. Dalila suka berkawan dengan Jack kerana dia seorang yang serba tahu. Apa sahaja topik perbualan, Jack pasti mempunyai cerita dan informasi untuk dikongsi. Dalila merasakan Jack seperti profesor Google , informasi di hujung jari, sesuailah dengan posisi Jack sebagai jurutera teknologi maklumat. Semua maklumat ada di dalam sel-sel otaknya. Dalila juga berasa selamat di samping Jack. Pernah satu ketika Dalila, cuba diragut tetapi Jack dengan sekali tendangan dapat menggagalkan percubaan tersebut. Walaupun bahaya melawan peragut, namun Jack berani bertindak sedemikian.

Jack mengajak Dalila berpindah ke rumah sewanya dengan alasan senang ke tempat kerja kerana teman serumah Dalila bukan sepejabat dengan mereka. Tidak payahlah Dalila tergesa-gesa dan berebut-rebut menaiki LRT atau bas. Kebetulan pula teman serumah Jack berpindah ke Seremban. Dalila dengan senang hati bersetuju menerima pelawaan Jack. Mereka berkereta dan kadang-kadang menaiki motor besar Jack ke tempat kerja. Jujurnya, Dalila kurang senang menaiki motor besar Jack, tidak sanggup melihat pandangan serong rakan sepejabat. Lagipun Dalila juga tidak selesa bertenggek di atas motor sebegitu tetapi kerana Jack yang membuat keputusan, Dalila menurutinya sahaja. Berbeza dengan teman-teman lelakinya dahulu, dialah yang banyak menanggung perbelanjaan mereka tetapi kini segala perbelanjaan dan sewa rumah ditanggung oleh Jack. Jack benar-benar membuat dirinya dihargai, disayangi dan tidak dikhianati.

Suatu malam Jack bersikap aneh terhadapnya, terlebih mesra dan agak berani. Dan malam itulah juga titik hitam berlaku terhadapnya. Sepanjang hubungan Dalila dengan teman-teman lelakinya, walau penipu manapun mereka, maruah Dalila tidak pernah tercalar. Dalila berjaya menggariskan batasan hubungan mereka. Namun dengan Jack, emosi telah memadamkan garis batasan tersebut. Mungkin juga sedar perlakuan mereka tidak memungkinkan Dalila hamil membuatkan dia lupa dosa maksiat yang dilakukan.

Sikap cemburu Jack yang agak keterlaluan membuat Dalila tertekan. Pantang Dalila berbual mesra dengan rakan sepejabat. Tiba di rumah sewa, ada sahaja barang-barang yang dipecahkan. Satu malam, Dalila tidak bertegur sapa. Mukanya masam mencuka. Seperti pasangan suami isteri layaknya pula bila mana fasa berasingan tempat tidur antara dia dan Jack berlaku semalaman itu. Amarah dan cemburu Jack bertambah apabila yang cuba mendekati Dalila teman-teman penkid. Jack pernah mencederakan tangannya dengan menumbuk pintu bilik rumah. Dalila tidak 
pula cuba memujuk atau mengubati kecederaan Jack kerana ketakutan. Walaupun setakat ini, Jack belum pernah mencederakan Dalila tetapi kalau amarah menguasai fikiran, tidak mustahil perkara yang ditakuti itu terjadi. Sebagai penanda aras api kemarahan Jack, Dalila menjadikan komputer riba milik Jack sebagai ukuran. Dia tahu Jack terlalu sayang komputer riba tersebut. Sekiranya Jack sanggup membinasakan komputer riba maknanya kemarahan Jack ke tahap maksimum dan Dalila harus berhati-hati.

Sebenarnya Dalila tidaklah merasa ingin memiliki Jack atau bernafsu terhadap kaum sejenis. Keseronokan hubungan songsang itu pun tidak dirasainya, malah terasa malu pada diri sendiri. Mungkin perasaan ingin disayangi dan dihargai membuatkannya hanyut dengan belaian Jack. Dia sedar sejak perisitiwa hitam itu, dirinya semakin jauh dengan Tuhan. Memanglah dahulu pun, solat lima waktunya tenggelam timbul, namun dia jarang tertinggal Maghrib dan Subuh, tetapi kini yang itu pun jarang-jarang dilakukannya. Ada kalanya dia merasa dirinya begitu hina di sisi Tuhan sehingga untuk mengangkat wuduk pun, dia malu.

Prestasi kerja Dalila turut terjejas. Ini membuatkan dirinya dipanggil Kak Imah. Kak Imah, seorang ketua dan pendengar yang baik.

“Awak belum tersasar jauh Dalila. Awak masih boleh berubah, sebab awak sudah ada kesedaran,” nasihat Kak Imah.

“Tapi macam mana saya nak lari dari Jack..., Kak Imah,? soal Dalila.

Perancangan Allah memang hebat. Jack telah dihantar ke 
Dubai untuk mengetuai projek di sana. Ketiadaan Jack memberi peluang kepada Dalila untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Kuliah agama dan al-Quran menjadi rutin Dalila hampir setiap malam. Dalila juga tidak lupa berkongsi video ceramah agama dan kisah-kisah nabi dengan Jack melalu media sosial. Pastinya, kisah Nabi Lut termasuk dalam perkongsian itu. Tidak lama kemudian Jack menutup akaun media sosialnya dan mereka sama-sama menyepi.

Lamunan Dalila terhenti.

“Sah, sah! Kita dah kena tipu” bicara Asmah di hujung peranti.

“Yer ke Asmah?” Balas Dalila.

“Ya lah berapa hari lagi nak wukuf, penerbangan haji pun dah tiada lagi.”

“Astafirullah, bab-bab agama pun nak tipu.”

“Kau sabar ye Dalila, reda aje, nak dapat kebahagiaan akhirat banyak dugaan,” pujuk Asmah lagi.

Apa yang ditakutinya semenjak diberitahu Asmah tempuh hari yang visa hajinya masih belum diperolehi kini betul-betul terjadi. Bukan sedikit jumlah yang telah dibayar. Dalila tidak mendaftar dengan Tabung Haji dan memilih ejen tersebut dengan harapan dapat pergi ke tanah suci secara ekspres. Kalau dengan Tabung Haji, entah tahun berapa dia dapat menjejakkan kaki ke sana. Namun kini segala-galanya musnah dek manusia durjana.

Tiba-tiba telefonnya berdering dengan nombor tertera yang tidak dikenali

“Assalamualaikum” suara wanita lembut memberi salam.

“Waalaikumussalam, siapa ni? Jawab Dalila

“Zaleha,” beritahu suara itu.

“Zaleha? Zaleha mana ni?

“Akulah! Jack, Ha!Ha!Ha!” Tawanya riang.

“Kau kat mana ni Jack?”

“Helo, Zaleha ya! Aku kat KL, kau nak ikut kami gotong royong korban tak raya ni? Suami, anak dan mak aku pun ada.”

“Suami..? Kat mana… Cambodia ke? Tanya Dalila teragak-agak.

“Buat pe jauh-jauh, Jalan Kebun, Klang je,” lalu tawa mereka berderai.