Itulah antara bait-bait lagu Jalur Gemilang yang sangat hampir di hati peserta Konvoi Merdeka Jalur Gemilang KMJG 2019. Cebisan kain yang diwarnai dengan jalur merah dan putih bukan sekadar corak biasa, tetapi ia adalah lambang kedaulatan, kehormatan, perpaduan dan ketaatan kepada negara yang mesti dipertahankan.  

Semasa artikel ini ditulis, genap tujuh hari KMJG 2019 melaksanakan misi kembara menjelajah seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak sempena meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62 tahun. 

Program yang bermula pada 3 Ogos dan akan berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,  di Bandar Hilir Melaka baru-baru ini.

Kembara ini melibatkan perjalanan sejauh 6,200 kilometer dan 62 pit stop.
Tahniah diucapkan kepada Jabatan Penerangan selaku penganjur utama dan kesemua 133 peserta dalam kembara berkenaan. 

Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pentarama dan lapan orang sukarelawan yang membantu peserta konvoi sepanjang perjalanan. 

Tentunya yang menarik perhatian ialah 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi jenama Goldwing di bawah kelab Permotoran Johor 17 atau J17 yang diberi kepercayaan oleh Jabatan Penerangan untuk sama-sama menjayakan misi kembara kali ini. 

Kelab yang dinaungi oleh  Tunku Datuk Hassan Tunku Mohammed Archibald adalah antara kelab pemotoran yang aktif  dalam aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai. 

Penulis rasa bangga kerana diberi kesempatan menunggang motosikal Tunku Hassan serta otai-otai penunggang yang rata-rata sudah melepasi usia lima siri. 

Malah, salah seorang penunggang otai bernama  Hosni yang berusia 70 tahun daripada Kelab Pemilik Goldwing Terengganu kelihatan masih gagah dan bersemangat mengikuti program KMJG 2019 hingga kini. Mereka datang daripada pelbagai latar belakang.

 Ada kalangan penunggang merupakan ahli perniagaan, ahli politik dan pegawai kerajaan. 
Yang menarik kali ini ialah penyertaan ikon permotoran J17, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Lan Pet Pet. 

Tidak sangka di sebalik perwatakannya sebagai pelawak, Lan Pet Pet berjaya membawa mesej-mesej kemerdekaan yang santai tetapi serius dan menarik perhatian orang ramai di sepanjang hentian yang disinggahi. 

Penulis sebagai ikon akademik dalam kembara ini bergilir-gilir dengan Lan Pet-Pet menyampaikan ceramah ringkas selari dengan tema Hari Kemerdekaan Ke-62, Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Menekankan Perpaduan

KMJG 2019 yang sedang berlangsung sekarang menekankan semangat perpaduan dan cintakan negara. Mesej yang dibawa oleh peserta KMJG 2019 cukup jelas iaitu mengajak masyarakat untuk sama-sama memahami erti kemerdekaan dan menterjemahkan semangat kemerdekaan itu dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap premis dan tempat yang sesuai. 

Oleh itu, di setiap lokasi yang disinggahi, pelbagai aktiviti dijalankan antara peserta KMJG2019 dengan agensi-agensi kerajaan negeri dan masyarakat. 

Antaranya adalah penyerahan Jalur Gemilang kepada kepimpinan negeri, ketua agensi kerajaan dan masyarakat sebagai simbol perpaduan dan semangat cintakan negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bangsa dan fahaman. 

Di samping itu, peserta konvoi turut beramah mesra dengan masyakarat dan pemimpin setempat, bertanyakan khabar bagi mengeratkan hubungan silaturahim. 

Penulis turut mengambil kesempatan untuk sama-sama menjalankan penyelidikan berkaitan peranan sukarelawan dan persepsi masyarakat mengenai sambutan Hari Kemerdekaan. 
Diharap ia dapat dibukukan sebagai sebahagian daripada khazanah negara untuk tatapan generasi akan datang. 

Sambutan Meriah

Apa yang diperhatikan, di sepanjang laluan dan lokasi sambutan KMJ2019, sambutan yang diterima agak meriah dengan kibaran Jalur Gemilang oleh kanak-kanak dan pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Terima kasih diucapkan kepada urus setia di setiap lokasi yang berjaya melibatkan ramai masyarakat setempat untuk hadir memeriahkan program KMJG 2019. 

Namun pada pandangan  penulis, masih kurang penyertaan dalam kalangan masyarakat Cina dan India setakat ini. Jika hadirpun sebagai ketua atau wakil yang menerima Jalur Gemilang. 

Kelibat anak-anak muda juga kurang melainkan persatuan-persatuan belia dan kelab pemotoran seperti di lokasi Pusat Parlimen Simpang Renggam apabila belia-belia kelab bermotosikal retro turut memeriahkan program. 

Berlainan dengan lokasi persinggahan di IPT seperti di Politenik Merlimau Melaka, SMK Kelapa Sawit di Kulai (Johor) serta di Politeknik Muadzam  Pahang, kehadiran konvoi KMJG 2019 mendapat sambutan cukup hangat terutama dengan kehadiran guru-guru dan pensyarah, pegawai daerah dan wakil rakyat. Semasa berada di DRB-Hicom  University of Automotive Malaysia, kehadiran kami turut disambut oleh Naib Cancelornya, Prof. Datuk  Dr. Omar Osman dan barisan pengurusan tertinggi universiti. Turut disajikan adalah pentomen insiden Bukit Kepong yang dilakonkan dengan jayanya oleh pelajar. Diharap kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dapat dilihat di lokasi-lokasi seterusnya nanti.