Mereka yang merupakan ahli Persatuan Basikal Tua menyertai program kayuhan, 'Moh Waghih Ngayuh' sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Daerah Kuala Pilah.

      

Konvoi sejauh empat kilometer yang melalui sekitar pekan Kuala Pilah itu turut disertai Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh.

Salah seorang peserta, Md Rahim Maskop, 50, berkata, dia mengenakan baju bendera Malaysia bagi menunjukkan perasaan sayangnya terhadap negara selain menghargai keamanan yang dikecapi sejak 62 tahun lalu.

"Saya menyertai program ini bukan saja kerana memberi kepuasan malah dapat menyemarakkan semangat patriotik.

Ini juga salah satu cara menunjukkan kecintaan kepada negara," katanya di sini.

Pelepasan konvoi telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pilah, Nazaruddin Sabtu.

Sementara itu, Presiden persatuan tersebut, Amran Yahya berkata, kayuhan menggunakan basikal tua ini dapat mengimbau kembali nostalgia lalu kerana ia merupakan kenderaan yang pernah digunakan sebelum merdeka.

“Kalau dulu mereka yang memiliki basikal tua adalah golongan berada namun bagi kami sebagai generasi selepas merdeka memiliki basikal tua ini adalah hobi dan minat tersendiri.

"Acara ini lebih meriah apabila murid-murid menanti kehadiran kami di hadapan sekolah mereka dengan kibaran Jalur Gemilang.

"Selain mengeratkan silaturahim antara ahli kelab sekali gus dapat menggamit nostalgia orang ramai terhadap suasana negera sebelum merdeka,” katanya. - UTUSAN ONLINE