Perhiasan dinding antara elemen penting dalam hiasan dalaman kerana tanpanya sesebuah ruang akan kelihatan ‘kosong’ dan tidak berseri.

Selain memberi tumpuan kepada pemilihan warna dan kertas dinding, kini seni hiasan dalaman beralih kepada hiasan dinding khat yang semakin mendapat permintaan dalam meningkatkan reka bentuk dalaman tanpa mengira ruang.

Dengan pelbagai pilihan yang tersedia hari ini, pilihan hiasan dinding khat mempengaruhi tema hiasan keseluruhan dan boleh digunakan secara meluas.

Pilihan warna terang amat sesuai bagi golongan muda kerana kelihatan segar dan menarik, malah mereka cenderung kepada hiasan dinding khat yang moden.

Bagi usahawan atas talian Hiasan Dinding Khat, Ruzanna Ahmad Rodzi, hiasan dalaman terutama hiasan dinding yang bertemakan khat memiliki pelbagai kelebihan dan sangat unik. Ia juga menjadi trend pada masa kini ekoran dekorasi tersebut tidak terhad kepada kediaman sahaja, malah sesuai diletakkan di ruang pejabat, restoran, butik dan hotel.

“Pada asalnya saya sekadar meminati hiasan dalaman terutama hiasan dinding bertemakan khat kerana keunikannya dan tidak menyangka minat tersebut turut dikongsi orang ramai.

“Ia merupakan satu inovasi baharu dalam hiasan dinding yang akan mengubah secara keseluruhan penampilan di setiap ruang,” katanya kepada Mega Rona.

Hiasan dinding khat yang dijualnya melalui laman Instagram @hiasan_dinding_khat bukan sahaja memiliki rekaan yang moden dan segar, malah dilengkapi jam dengan jaminan selama enam bulan.

“Pembeli boleh memilih tulisan khat doa, surah atau zikir yang cantik dan menarik dengan warna latar belakang yang menaikkan seri rumah.

“Dalam masa sama, hiasan tersebut sarat dengan seni keindahan kaligrafi Islam serta mendatangkan kebaikan untuk sesiapa sahaja yang memba­canya,” ujarnya.

Katanya, hiasan dinding itu menggunakan gambar dengan resolusi tinggi bagi memberi gambaran realistik pada setiap dekorasi yang terhasil dengan tapaknya diperbuat dari kayu berkepadatan tinggi selain menggunakan kertas foto berkualiti tinggi serta kalis air.

Terdapat pelbagai saiz dan bentuk jam dinding serta lebih daripada 100 jenis rekaan gambar yang sesuai dengan karakter pemiliknya.