KGPA yang ditubuhkan pada 1989 memiliki 27 lubang dan direka oleh Ronald Fream dengan cabaran berbukit serta tasik. Lapangan yang panjangnya berukuran 6,091 meter par 72 pula dihampari dengan rumput pure cowgrass dan bermuda yang menghijau serta terpelihara rapi, dan rumput jenis serangoon dan bermuda di green.

Terletak tidak jauh dari pusat bandar kota metropolitan, KGPA menjanjikan cabaran tersendiri kepada pemain-pemain golf yang beraksi di sini. Malah, boleh dikatakan kelab golf ini sentiasa dipenuhi ‘kaki-kaki’ golf terutama ahli-ahlinya yang aktif selain tetamu luar yang ingin menguji kemahiran.

Sememangnya terselit sedikit kesukaran untuk mencipta skor yang bagus apabila beraksi di ketiga-tiga nine - Hill, Lake dan Forest kerana cabarannya hadir pada karektor jarak dan bentuk muka bumi yang berbeza. Namun ramai pemain yang bila beraksi di sini pasti ingin datang lagi bermain di ketiga-tiga lapangan sembilan lubang ini.

Situasi ini diakui sendiri oleh Pengurus Besar KPGA, Datuk Mahat Bahari apabila beliau menjelaskan setiap hari kelab KGPA akan sentiasa dipenuhi pemain bukan sahaja dalam kalangan ahli, tetapi juga pemain-pemain golf dari luar kelab tersebut.

Menurut Mahat, sekarang setiap hari pada hari biasa antara 70 hingga 80 flight, tetapi kalau hujung minggu tiada slot kosong, sentiasa penuh dengan pemain.

Mahat berkata, KGPA jika dibandingkan lima tahun dahulu sudah jauh berbeza. Dahulu KGPA lebih dikenali sebagai commando course kerana tahap kesukarannya cukup tinggi.

Katanya, mungkin kerana itu, KGPA dahulu banyak slot-slot kosong dan pihaknya tidak dapat menarik lebih ramai ‘golfers’ datang bermain di sini sehingga menghadapi masalah untuk menguruskannya kerana kekurangan kewangan.

“Apabila kita sedar bahawa tahap kesukaran bermain di KGPA ini tinggi, apatah lagi yang datang bermain golf di sini kebanyakannya amatur, maka kita membuat keputusan untuk mengubah ‘kesukaran’ itu kepada ‘keseronokan’ bermain golf.

“Bila mereka seronok bermain sudah semestinya mereka akan datang lagi. Jadi inilah matlamat kita kerana dengan menarik lebih ramai pemain datang beraksi maka sumber kewangan KGPA juga akan bertambah. Dengan itu kita boleh menaik taraf kelab ini dengan lebih baik lagi.

“Sekarang jika anda lihat KGPA, inilah KGPA yang dinaik taraf dari segi fairway, green dan juga tee-box. Dahulu terdapat beberapa halangan di tengah-tengah fairway lubang pertama Hill ini, tetapi sekarang sudah tidak ada lagi. Kita buang halangan itu untuk memberi ‘keseronokan’ kepada pemain yang beraksi di sini.

“Begitu juga di lubang dua par lima Hill, dahulu kiri kanannya OB sehingga ada pemain yang tidak sanggup tee-off pakai driver kerana takut OB. Tetapi sekarang sebelah kanan tiada OB lagi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di KGPA baru-baru ini.

Mahat yang sudah lapan tahun menguruskan KGPA memberitahu, satu masalah yang pihaknya hadapi dahulu adalah padang akan menjadi becak apabila musim hujan, tetapi dengan naik taraf yang dilakukan, keadaan itu sudah tidak berlaku lagi. Malah kalau hujan lebat sekali pun, dalam masa kira-kira setengah jam selepas hujan berhenti pemain sudah boleh sambung kembali permainan.

Jadi katanya, sejak KGPA berubah karektor, sudah banyak pertandingan peringkat amatur diadakan di sini.

Selain menaik taraf padang, tambah Mahat, KGPA juga sedang mempertingkatkan kemudahan-kemudahan lain seperti tempat letak kereta bertingkat dengan 700 lot parking yang sudah siap, dalam proses membeli buggy baharu bagi menggantikan buggy yang sedia dan dalam perancangan mengubah suai club house.

“Satu lagi, kita juga sedang dalam pembinaan hotel lapan tingkat dengan kapasiti 300 bilik dan dijangka dibuka pada pertengahan 2020. Kita percaya apabila hotel itu dibuka nanti, akan lebih ramai pemain golf terutama dari luar negara datang bermain di sini. Hotel ini akan ada penghubung iaitu jambatan menuju ke stesen MRT atau LRT,” jelasnya.