Rata-rata netizen kini dilihat terlalu obses dengan pelbagai jenama teh bubble. Memang minuman ini sedap tetapi mungkin ramai terlepas pandang dengan kadar gula yang cukup berbahaya dalam minuman itu sendiri. Pernahkah anda bertanya sama ada minuman ini selamat atau sebaliknya dalam konteks kesihatan?

IVY CHEAH
IVY CHEAH 

Menurut Pakar Pemakanan Hospital Gleneagles Penang, Ivy Cheah, untuk secawan minuman teh susu bubble 500 milimeter (ml) tanpa campuran bahan-bahan tambahan lain didapati mengandungi sekitar 30 hingga 40 gram (g) gula. Ini bersamaan kira-kira enam hingga lapan sudu teh gula tebu setiap cawan. Justeru, kandungan gula yang tinggi dalam segelas minuman ini cukup membimbangkan.

Selama bertahun-tahun, minuman teh bubble asli makin berkembang dan diinovasikan dengan menawarkan pelbagai pilihan dan kombinasi terbaharu. Bahan-bahan campuran bersama minuman ini adalah seperti jeli, puding dan pearl (atau lebih dikenali sebagai boba). Biasanya disediakan mengikut kehendak pembeli. Tambahan topping inilah yang meningkatkan lagi kandungan gula dan juga kalori dalam minuman tersebut.

Pearl atau sejenis sagu (boba) diperbuat daripada kanji dan bebola kecil ini tidak mempunyai sebarang nutrisi lain dan hanya penuh dengan kandungan karbohidrat. Pelbagai jenis boba boleh didapati di pasaran hari ini misalnya boba biasa dan bersalut gula perang. Asalnya teh bubble ini mungkin mengandungi antara 35 g hingga 65 g gula tetapi jika dicampur dengan boba bersalut gula perang serta susu, ia boleh meningkatkan sehingga kira-kira 
90g gula.

“Jangan terkejut, setelah disukat tahap gula dalam minuman ini, jumlahnya adalah dua kali ganda daripada cadangan penggunaan gula oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (maksimum lima hingga 10 sudu teh gula setiap hari),” ujar Ivy.

Ditanya sama ada minuman ini sihat kerana berasaskan teh, Ivy memberitahu, teh bubble sering disediakan dengan menggunakan teh hitam atau hijau. Tidak dinafikan, teh hitam atau teh hijau adalah baik untuk kesihatan kerana kandungan polifenol yang terdiri daripada antioksidan, antiradang dan antikarsinogenik. Bagaimanapun, teh yang asalnya teh biasa kini telah dicampurkan dengan bahan-bahan diproses seperti boba bubble, pewarna, sirap dan perasa tiruan boleh meningkatkan kadar kalorinya. Secawan teh bubble mempunyai 350 hingga 500 kalori bergantung kepada jumlah serta jenis bahan-bahan yang ditambah.

Sungguhpun begitu, terdapat pelbagai cara untuk membuatkan teh bubble menjadi lebih sihat. Contohnya, meminta susu rendah lemak sebagai alternatif untuk susu pekat atau krimer bukan tenusu dan tidak memilih topping tambahan seperti bubble dan jeli. Selain itu, memilih buah-buahan segar juga adalah salah satu opsyen dalam usaha mengurangkan pengambilan gula pada masa yang sama meningkatkan sistem imun dengan vitamin C.

“Walaupun teh itu sendiri boleh memberi manfaat kepada kesihatan namun teh susu atau bubble biasanya tidak berkhasiat. Teh susu sering ditambah dengan krimer bukan tenusu dan susu pekat manis untuk tekstur berkrim. Kedua-dua bahan-bahan yang tinggi lemak tepu ini boleh menyebabkan peningkatan paras kolesterol. Begitu juga dengan penggunaan sirap buah-buahan yang lebih tinggi kandungan gula dan bukannya buah-buahan segar atas faktor kos,” jelasnya.

Kajian juga mendapati teh bubble tergolong sebagai salah satu daripada minuman manis bergula (SSB) kerana kandungan gula dan kalorinya yang tinggi. Jika minuman ini boleh meningkatkan jumlah pengambilan kalori, ini akan menyebabkan pertambahan berat badan yang tidak diingini. Secara tidak langsung akan menyumbang kepada masalah obesiti, kencing manis, gout dan dyslipidaemia.

Kata Ivy lagi, minuman berasaskan teh ini tidak memberikan apa-apa vitamin dan mineral kerana kandungan gula dan kalorinya yang terlalu tinggi. Buat mereka yang sedang menjaga pemakanan harian, minuman ini tidak boleh menjadi sebahagian tetap daripada diet seperti mana minuman manis bergula lain.

“Walaupun boba bubble ini sedikit kenyal tidak menimbulkan sebarang risiko kimia, kita tidak harus mengabaikan kesan gula dan kandungan kalori yang tinggi dalam minuman ini terutama terhadap kesihatan. Ternyata pengambilannya kurang baik untuk kesihatan kita. Kepada para penggemar minuman tersebut cuba kurangkan kekerapan kerana sentiasa sederhana adalah kunci kepada kesihatan (yang baik),” ujarnya.