Terdapat satu istilah iaitu gummy smile. Istilah yang sering digunakan oleh doktor pergigian untuk menerangkan keadaan apabila senyuman seseorang individu itu tidak seimbang. Dalam nada lebih mudah, gummy smile ialah senyuman yang menampakkan terlalu banyak bahagian gusi sebelah atas berbanding gigi.

Ada beberapa faktor penyebab berlakunya keadaan senyuman seperti ini. Antaranya adalah berpunca daripada keadaan pertumbuhan gigi yang tidak normal hingga menyebabkan gigi kelihatan pendek dan kecil kerana tisu gusi menutup sebahagian besar permukaan gigi. Perkembangan tulang rahang atas yang agak panjang daripada normal dan gigi yang bersaiz kecil juga boleh menjadi penyumbang kepada berlakunya gummy smile ini. Lekatan tisu lembut bibir dan otot senyuman terlalu aktif juga akan membuatkan senyuman itu terlalu lebar serta tinggi hingga menampakkan gusi.

Bagi masalah lebihan gusi yang menutup gigi serta menampakkan gigi pendek dan kecil, rawatan crown lenghtening atau rawatan pemanjangan korona gigi (bahagian kepala gigi yang kelihatan dalam mulut) dapat membantu mendapatkan senyuman yang lebih seimbang. Rawatan ini pula boleh dibahagikan kepada dua bahagian.

Pertama ialah bahagian rawatan yang melibatkan gusi yang dinamakan gingivectomy iaitu memotong sebahagian daripada gusi mengikut kontur leher gigi dan kedua, gingivoplasty iaitu menipis, membentuk dan mencantikkan kontur gusi supaya kelihatan lebih semula jadi. Kedua-dua prosedur ini melibatkan gusi dipotong beberapa milimeter mengikut kontur leher gigi untuk menampakkan korona gigi lebih panjang. Ada juga keadaan yang mana pakar pergigian periodontik perlu memotong sedikit tulang alveolar di bahagian leher gigi tersebut sekiranya dirasakan perlu.

Rawatan susulan mungkin diperlukan selepas prosedur gingivevtomy dengan membentuk semula gigi yang terlibat dalam garis senyuman dengan memasang korona (crown) atau veneers supaya gigi kelihatan lebih panjang dan mempunyai bentuk lebih menarik. Korona dan veneers gigi yang sempurna dari sudut saiz, warna, bentuk, sinar, translusensi dan tekstur amat penting untuk menampilkan senyuman sempurna yang saya tekankan sejak awal. Rawatan gingivectomy dan veneers ini saling bantu-membantu untuk mendapatkan senyuman yang lebih menawan.

Terdapat juga keadaan yang mana lekatan frenum atau penyambung lipatan antara bibir atas dan gusi terlalu ketat menyebabkan bibir atas lebih terangkat walaupun dalam keadaan rehat apatah lagi apabila tersenyum. Ini akan menyebabkan gusi kelihatan lebih menonjol apabila tersenyum. Keadaan ini boleh diperbaiki dengan prosedur dipanggil frenectomy iaitu pembedahan minor melibatkan pemotongan frenum tersebut sekali gus melegakan bibir atas supaya garis senyuman bibir atas lebih rendah.

Selain punca-punca daripada dalam mulut yang menjadi penyumbang kepada gummy smile, kontraksi otot terlalu kuat sekitar atas bibir yang dipanggil Elevator Labii Superioris menyebabkan bibir atas terangkat lebih daripada biasa pada sesetengah individu turut menjadi salah satu faktor. Keadaan ini boleh dibantu dengan suntikan botox yang disasar pada otot tersebut untuk melemahkan kontraksinya sekali gus menghasilkan garis senyuman yang lebih rendah dan menutup lebih banyak bahagian gusi. Untuk rawatan ini, anda boleh berjumpa doktor pakar estetik untuk berbincang dengan lebih lanjut berkenaan prosedur yang akan dilakukan.

Cara pertumbuhan dan pembentukan tulang rahang turut menyumbang kepada senyuman gummy smile. Semasa pembentukan tulang rahang pada sesetengah individu, tulang yang menyaluti gigi boleh membesar dan membenjol menyebabkan gusi kelihatan tersembul keluar apabila tersenyum. Ada juga keadaan tulang rahang atas terbentuk dengan ketinggian yang lebih hingga menyebabkan pertumbuhan gigi atas menjadi lebih rendah daripada aras normal sekali gus menyumbang kepada senyuman menampakkan gusi. Keadaan ini memerlukan intervensi pakar pergigian ortodontik iaitu gigi perlu digerakkan ke posisi lebih ideal dan pakar pergigian maksilofasial untuk melakukan prosedur orthognathic surgery iaitu pembedahan maksilofasial bagi mengubah posisi tulang rahang.

Keadaan dan rawatan yang saya senaraikan di atas memerlukan penelitian, pemeriksaan dan diagnosis yang tepat daripada pakar-pakar pergigian berkaitan. Nasihat saya, pergilah berjumpa doktor dan pakar gigi anda untuk mendapatkan konsultasi dan urutan rawatan yang bersesuaian dengan keadaan senyuman sedia ada dan juga senyuman yang diidamkan.

Saya tidak melabel gummy smile sebagai penyakit yang perlu di rawat. Cuma saya melihat setiap senyuman adalah unik kepada setiap individu dan kurniaan yang sangat indah daripada Allah SWT. Saya percaya keyakinan diri dicerminkan oleh senyuman yang jujur dan penuh karisma. Senyumlah daripada hati, senyuman yang ikhlas, wajah pasti berseri.