Sebenarnya dentalphobia atau fobia doktor gigi boleh diatasi dengan kerjasama antara pesakit dan doktor gigi. Pesakit perlu mempercayai kebolehan dan yakin bahawa doktor gigi tidak akan menyebabkan pesakit berasa seksa dan tertekan dan doktor gigi berperanan menanam keyakinan tersebut di dalam pesakit.

Antara cara- cara yang boleh mengatasi masalah ini ialah berterus terang dengan doktor gigi anda yang anda takutkan rawatan pergigian. Doktor gigi anda akan tahu cara untuk mengatasi ketakutan anda. Saya sering mainkan lagu untuk pesakit saya atau bercerita sepanjang rawatan untuk menarik perhatian mereka daripada rawatan yang dijalankan. Mungkin cerita gosip artis terkini atau cerita pengalaman yang lucu.

Minta doktor gigi anda bercerita dengan lengkap tentang jenis rawatan yang akan lakukan dan bagaimana pelaksanaan prosedur tersebut. Jika anda mengetahui dengan teliti apa yang akan berlaku perasaan takut dan seram akan berkurang dan keyakinan pada doktor gigi akan bertambah.

Jika anda gagal memberitahu doktor gigi yang anda merasa tidak selesa atau sakit semasa rawatan kerana mulut terbuka luas, buat satu tanda isyarat. Maklumkan kepada doktor gigi yang jika anda berasa tidak selesa anda akan mengangkat tangan sebagai tanda isyarat. Ini akan memberikan anda kuasa bercakap tanpa suara dan sekali gus memberi keyakinan terhadap diri sendiri dan perawat.

Jika anda berasa sukar bernafas semasa rawatan sentiasa ingatkan diri untuk bernafas melalui hidung dan tarik nafas dalam-dalam kemudian lepaskan juga melalui hidung. Latih diri dan ingatkan diri semasa menunggu giliran untuk bernafas panjang melalui hidung serta buatlah kiraan setiap tarikan nafas supaya perhatian dapat dialihkan daripada rawatan. Kaedah ini boleh mengurangkan rasa panik.

Alihkan perhatian kepada aktiviti lain seperti menggoyangkan ibu jari kaki semasa doktor gigi menjalankan rawatan supaya fikiran tidak tertumpu kepada apa yang berlaku di dalam mulut. Boleh juga memegang objek di tangan sebagai bahan aktiviti menangani stres dan mengalihkan tumpuan seperti anti stress squeeze ball , fidget spinner dan juga zikir dalam hati dengan menggunakan tasbih atau ruas jari sebagai penghitung.

Jadikan tabiat melakukan pemeriksaan gigi setiap enam bulan walaupun tidak mengalami masalah gigi untuk mengurangkan rasa takut. Jika anda ke klinik gigi dengan kesakitan semestinya prosedur yang akan dilakukan untuk merawat gigi tersebut lebih rumit sekali gus menyebabkan dentalphobia.

Perasaan fobia ini harus ditangani dengan bijak kerana lawatan ke klinik gigi untuk pemeriksaan berkala dan rawatan adalah amat penting bukan sahaja untuk kesihatan mulut malahan kesihatan tubuh secara keseluruhannya. Pemeriksaan awal gigi akan dapat mengesan penyakit gigi dan gusi di peringkat awal. Secara tidak langsung akan menjimatkan kos rawatan. Sebagai contoh karies gigi yang dikesan awal cuma perlu dirawat dengan tampalan.

Jika dibiarkan berlarutan mungkin memerlukan rawatan akar gigi dan semestinya pesakit akan dibius dan seterusnya restorasi korona yang memakan belanja lebih besar. Jika lebih parah lagi, gigi tersebut mungkin perlu dicabut dan digantikan dengan rawatan jambatan atau implan gigi yang semestinya lebih rumit dan melibatkan kos lebih tinggi.

Fobia doktor gigi bukanlah sejenis penyakit tetapi boleh menyebabkan hadirnya penyakit jika individu yang terkesan tidak atasinya dengan segera. Jadikan doktor gigi kawan anda dan tolak rasa takut sejauh mungkin. Pengalaman anda di klinik gigi akan menjadi satu pengalaman yang menyenangkan.