Mengapakah saya membuat tanggapan begitu? Sebab saya menilai daripada percakapannya. Migrain berpunca daripada stres atau tekanan perasaan. Pengalaman sebagai doktor juga mendapati, biasanya mereka yang ada migrain ialah orang yang suka risau. Perkataan yang selalu pesakit migrain sebut antaranya; takut, risau, kalau, macam mana, malu, “boleh ke?” “tak pasti” “jika gagal macam mana? “nanti apa kata orang” dan seumpamanya yang membawa kesan negatif.

Stres yang tidak terkawal dan berpanjangan akan memberikan tekanan mental dan akan menyebabkan kita selalu mengalami penyakit-penyakit seperti, gastrik, sakit kepala, pening kepala, migrain, selesema dan sinus. Jika dibiarkan stres berterusan, penyakit-penyakit tersebut akan melarat menjadi penyakit yang lebih kronik seperti, sakit pinggang, sakit belakang, darah tinggi dan sakit jantung. Badan yang sihat datang daripada fikiran yang sihat dan sentiasa berfikir secara positif. Badan dan fikiran yang sihat dan positif akan menghasilkan emosi positif. Barulah terhasil tindakan positif dan akhirnya kehidupan juga menjadi positif.

Hasil daripada kajian saintifik menunjukkan 70 peratus penyakit kronik seperti kanser dan jantung berpunca daripada minda yang negatif dan jiwa yang tidak tenang. Setiap kali stres, kita telah menurunkan sistem imun terhadap kuman dan kanser selain menyebabkan emosi menjadi negatif. Magnet diri amat bergantung kepada kecerdasan emosi kita. Kecerdasan emosi penting untuk kita mendapatkan sesuatu matlamat dan tujuan kehidupan. Untuk mencapai matlamat dalam kehidupan, seseorang mesti tahu kehendak dan matlamatnya.

Untuk mudah mencapai sasaran dan matlamat kehidupan pula, emosi yang diperlukan hanyalah emosi positif. Emosi positif itu, yang pertama, emosi cergas dan kasih sayang. Kedua, emosi menghormati orang. Ketiga, emosi menghargai orang lain. Jika kita ini ingin dihargai tetapi tidak mahu menghargai orang, sukar untuk mencapai matlamat yang disasarkan. Ini kerana kita tidak akan mendapat kerjasama dan kesepakatan daripada orang lain. Keempat, emosi murah hati dan penuh belas kasihan. Kesemua emosi yang baik ini akan memberikan kecerdasan emosi dan menentukan kecerdasan tindakan. Kesemua emosi tersebut hanya datang daripada keseimbangan hati. Jom audit diri agar kita memiliki emosi yang positif.

Perbaiki akhlak

Oleh itu, jika selalu berada dalam stres, mohonlah maaf kepada orang yang kita telah lukai hatinya. Banyakkan bertaubat serta tingkatkan keimanan dan ketakwaan. Stres juga boleh diatasi dengan memperbaiki akhlak walau di mana pun kita berada. Sentiasa ikhlaskan hati sesama manusia dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Tidak akan timbul ketenangan dalam diri apabila pengharapan lebih ditumpukan kepada makhluk, bukannya Allah. Sangat penting pergantungan hanya kepada Allah, yang mengaturkan segala kesukaran dan kesenangan manusia. Justeru, segala agenda hidup ini perlu mengutamakan Allah. Bukan mengutamakan dan menjaga hati manusia. Orang paling malang ialah mereka yang mengharapkan manusia.

Hentikan pengharapan kepada makhluk. Mengharap dipuji, dikasihi dan diberi. Sebaliknya tanamkan dalam hati bahawa kita suka memuji, mengasihi dan memberi. Pada masa sama jadikan diri ini seorang yang sentiasa mengharap dikasihi, dirahmati dan dilindungi oleh Allah. Ingatlah, dengan makhluk kita ingin memberi, dengan Allah kita memperolehi. Sebab hanya Allah Yang Maha Pemberi, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Maka serulah dengan penuh ketakwaan nama-nama Allah itu. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.