Antara faktor itu adalah pengaruh internet menerusi media sosial termasuk mudahnya menonton bahan lucah di skrin telefon bimbit yang berada dalam genggaman remaja setiap masa. Tanpa pengawasan ibu bapa, tentunya masalah tersebut menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.

Menyedari itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu meningkatkan kesedaran remaja mengenai amalan seks yang sihat.

Soroptimist Puberty Organisation Toolkit (SPOT) dan Kelab Antarabangsa Soroptimist Petaling Jaya merupakan antara NGO yang berusaha membantu meningkatkan kefahaman seks yang sihat dalam kalangan remaja menerusi penganjuran forum bertajuk Women of Worth di Triune @ KL Eco City.

Menurut satu kenyataan, forum itu adalah siri acara yang dianjurkan dengan tujuan mendukung dan meraikan pencapaian wanita dalam masyarakat. Pengurus Acara, Gabriel Ng berkata, pihaknya menyokong misi SPOT yang bertujuan mendidik dan memperkasakan remaja perempuan serta wanita bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang berfaedah, sekali gus membantu mereka berkembang maju dan berjaya.

Beliau berkata, acara kemuncak forum bermula dengan pelancaran SPOTLINE iaitu perkhidmatan untuk orang awam bertanyakan soalan tentang pendidikan seks melalui pesanan teks atau WhatsApp di talian +018-2404033.

“Servis textline ini boleh digunakan 24 jam sehari dan dikendalikan oleh sekumpulan sukarelawan,” katanya.

Majlis pelancaran forum itu dirasmikan oleh mantan Presiden Persekutuan Soroptimist Antarabangsa daripada Persekutuan Barat Daya Pasifik, Puan Sri Siew Yong Gnanalingam dan Presiden Kelab Antarabangsa Soroptimist Petaling Jaya (2018-2020), Elmarie Potgeiter.

SPOTLINE ditubuhkan untuk menyampaikan maklumat bagi memperkasakan masyarakat khususnya remaja perempuan dan wanita untuk membuat keputusan yang tepat selain membolehkan orang muda menjaga kesihatan seksual dan reproduktif mereka dengan cara yang betul.

Setiap persoalan yang dilontarkan dalam forum tersebut dijawab oleh panel pakar termasuk Pensyarah Kanan dan Pengurusan Penjagaan Kesihatan di Universiti Monash, Dr. Siti Noraida Mohd. Habibullah; pensyarah psikologi dan penyokong pendidikan seks, Farah Farisya dan pengasas SPOT, Siti Aishah Hassan Hasri.

Soalan dan jawapan yang lengkap kemudian dimuat naik ke laman web rasmi SPOT, www.hellospotgirl.com untuk tujuan rujukan dan arkib.

Nama-nama dan butiran hubungan kanak-kanak/remaja dirahsiakan selaras dengan polisi perlindungan kanak-kanak SPOT. Selain soal jawab, forum itu juga menyelitkan slot Let’s Talk About Sex Ed Panel dengan ahli panel terdiri daripada Ketua Unit Kesihatan Reproduktif di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Hamizah Mohd Hassan; peguam dan aktivis hak asasi manusia, Honey Tan dan sukarelawan SPOT, Chahana Ramesh.

Program yang dirasmikan oleh pelakon dan aktivis, Tehmina Kaoosji itu memberi ruang kepada ahli panel untuk membincangkan peranan wanita di rumah dan komuniti di peringkat kebangsaan.

Dalam pada itu, Siti Aishah ketika berucap berkata, SPOT diasaskan dengan satu matlamat iaitu untuk menyampaikan pendidikan akil baligh bagi memperkasa belia demi manfaat masa depan yang lebih baik.

“Untuk acara komuniti pertama, kami menghimpunkan individu yang tepat untuk perbincangan dinamik berhubung nilai wanita.

“Peranan kami sentiasa berubah dalam komuniti iaitu mengikut perspektif yang berbeza daripada seorang penggubal undang-undang, peguam, aktivis hak asasi manusia, sukarelawan SPOT dan kakitangan media,” katanya.

Sementara itu Siew Yong berkata, SPOT berguna untuk membantu mengurangkan masalah kesihatan seksual, komuniti dan reproduktif seperti pengguguran yang tidak selamat, pembuangan bayi dan perkahwinan kanak-kanak.

“Isu-isu ini menjejaskan semua lapisan masyarakat dan kita memerlukan kerjasama ibu bapa, sekolah, korporat dan komuniti secara keseluruhan untuk mengurangkan isu-isu yang dapat dicegah ini,” katanya.

Program SPOT dijalankan di sekolah-sekolah bandar di Malaysia. Sejak 2015, program yang dijalankan secara sukarela itu telah disampaikan kepada 5,140 kanak-kanak perempuan di 42 buah sekolah di enam negeri.

Sejak penubuhannya, seramai 106 sukarelawan menyumbang sebanyak 1,200 jam untuk melaksanakan program yang menerima tajaan daripada Triune @ KL Eco City, foodpanda, Libresse, Claire Organics dan Bungaa. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.hello–spotgirl.com dan www.instagram.com/hellospotgirl.