Sejak kebelakangan ini, negara digemparkan dengan pelbagai kes cubaan membunuh diri kerana tekanan hidup sepertimana yang banyak dilaporkan oleh media tempatan.

PELAJAR lelaki yang nekad terjun dari tingkat dua bangunan sekolah di Banting selepas cintanya ditol
PELAJAR lelaki yang nekad terjun dari tingkat dua bangunan sekolah di Banting
selepas cintanya ditolak baru-baru ini.

Mana tidaknya, seorang pelajar sekolah menengah turut mempunyai keinginan untuk membunuh diri kerana terlalu tertekan sehingga tidak dapat mengawal perasaan sedih sedangkan pelajar itu baru berusia 13 tahun!

Mungkin bagi sesetengah individu, remaja terbabit terlalu muda untuk mempunyai tekanan perasaan dan sepa­tutnya dia menikmati alam remaja dengan penuh keseronokan.

Namun, sebenarnya ada dalam kalangan remaja tersilap langkah. Mereka perlu dibantu, sebaliknya masyarakat kita menganggap usia remaja adalah satu fasa yang bebas daripada sebarang tekanan perasaan.

Persepsi sebeginilah yang membunuh jiwa dan insan yang sepatutnya memerlukan pertolongan dan bimbingan daripada masyarakat.

Menurut Presiden Pertubuhan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar, golongan remaja dilaporkan antara yang tertinggi menghadapi masalah mental berikutan tekanan hidup seperti masalah cinta dan pelajaran.

“Mereka terlalu cepat berputus asa dan tanpa berfikir panjang mengambil langkah yang salah kerana tidak tahu cara yang betul bagi menyalurkan kesedihan.

“Perkara pertama yang perlu mereka lakukan adalah berkongsi masalah dengan orang lain iaitu ibu bapa, rakan atau kaunselor di sekolah masing-masing,” katanya kepada Mega Rona.

Tambah Dr. Abdul Kadir, bagi remaja yang menghadapi masalah tekanan dan kemurungan, mereka boleh cuba mengamalkan teknik-teknik untuk mendapatkan ketenangan diri seperti yang diajar dalam program minda sihat di sekolah.

“Teknik menenangkan diri seperti teknik bernafas dan teknik mengosongkan fikiran boleh diamalkan bagi menghilangkan stres.

“Apa yang paling penting adalah sokongan keluarga supaya mereka dapat mengharungi fasa kemurungan yang dialami itu,” katanya.

TERTEKAN AKADEMIK

Mengulas lanjut Dr. Abdul Kadir memberitahu, sistem pendidikan negara yang terlalu menekankan pencapaian akademik juga antara faktor peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

“Di negara kita, pendidikan lebih fokus pada fakta-fakta akademik sehingga mengabaikan hubungan silaturahim antara pelajar.

“Sistem pendidikan kita boleh mengikut contoh negara Finland yang lebih fokus pada hubungan sesama pelajar berbanding pendidikan akademik,” katanya.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Kesihatan Mental (MIASA), Anita Abu Bakar berkata, pesakit mental seharusnya diberi peluang untuk berada di dalam lingkungan masyarakat.

“Stigma negatif masyarakat mengenai pesakit mental harus diubah kerana mereka sebenarnya memerlukan pertolongan menerusi sistem sokongan sedia ada untuk keluar dari penderitaan yang dihadapi.

“Ini kerana tanpa sokongan masyarakat, proses penyembuhan seseorang pesakit mental memakan masa yang lama dan mungkin menyebabkan mereka berakhir di jalanan,” katanya.

Tambah Anita, sebuah pusat rawatan bagi pesakit mental perlu diwujudkan di setiap tempat yang mudah diakses bagi membantu mereka mendapatkan pertolongan ketika memerlukan.

“Pusat rawatan untuk mereka yang mengalami masalah mental seperti kemurungan, kebimbangan dan sebagainya harus diletakkan berdekatan dengan komuniti setempat.

“Sokongan seperti ini harus diberikan kepada pesakit mental kerana mereka perlu mendapatkan sokongan dan bukan mengasingkan mereka daripada masyarakat setempat,” katanya.

Anita juga memberitahu bahawa masyarakat harus mempunyai sifat empati iaitu cuba memahami perkara yang dilalui oleh pesakit mental untuk membantu mereka menghadapi cabaran yang sedang dihadapi.

“Dengan mempunyai nilai empati dalam diri mereka, insya-Allah stigma negatif masyarakat terhadap pesakit mental akan berubah dan lebih memahami apa yang dilalui mereka.

“Sokongan dan bimbangan rakan-rakan boleh membantu mereka keluar dari penderitaan yang dihadapi,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Mohd. Noor Deros berkata, agama memainkan peranan penting dalam membantu seseorang individu yang menghadapi kemurungan untuk pulih daripada penyakit mental.

“Kekuatan agama boleh membantu pesakit pulih dan ia penting kerana semangat spiritual yang seharusnya ada dalam diri setiap individu diisi dengan amalan yang disaran oleh agama.

“Pengamal perubatan harus memasukkan elemen kerohanian dalam amalan praktis mereka dan insya-Allah, penyembuhan sepenuhnya dapat dicapai oleh pesakit,” katanya.