SCD boleh terjadi apabila terdapat serangan jantung secara tiba-tiba dan tidak dijangka dalam tempoh sekurang-kurangnya enam jam sebelum serangan iaitu semasa atlet berada pada keadaan kesihatan normal atau sedang menjalani aktiviti yang normal.

ALEAH MOHAMMAD
ALEAH MOHAMMAD 

Menurut Terapis Sukan, Aleah Mohammad, sungguhpun SCD jarang berlaku, sindrom ini agak sinonim dalam kalangan atlet berprofil tinggi malah sejajar dengan peningkatan usia. SCD juga mempunyai kaitan rapat dengan latihan dan tahap kecergasan atlet.

Katanya, kejadian ini lebih kerap berlaku dalam kalangan atlet lelaki terutamanya pemain bola sepak memandangkan sukan ini mempunyai penglibatan yang tertinggi golongan itu di dunia.

“Walaupun sukan bukanlah faktor utama penyebab kematian jantung mengejut, namun ia adalah pencetus sekiranya terdapat kecacatan pada jantung, suatu fenomena yang lazimnya tidak disedari oleh atlet,” katanya yang kini melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang fisiologi kardiovaskular di Universiti Liverpool John Moores.

Kata Aleah, penyebab utama kematian jantung secara mengejut dalam kalangan atlet di bawah umur 35 tahun pula dikenali sebagai hypertrophic cardiomyopathy (HCM).

“Apabila atlet menjalani latihan harian, otot pada jantung yang tidak normal ini boleh menebal dan risiko akan meningkat. Bagaimanapun jika seseorang atlet yang berkeadaan seperti ini tidak bersaing dalam sukan yang kompetitif, risiko akan menjadi lebih rendah,’’ ujarnya.

Terdapat keadaan lain pada jantung yang boleh menyebabkan kematian jantung mengejut, seperti arrhythmogenic right ventricular cardiomyopathy (ARVC)

ARVC berlaku apabila otot jantung di bahagian ventrikel kanan diganti oleh tisu lemak yang boleh menyebabkan jantung tidak dapat berdenyut secara normal seterusnya boleh membawa kepada kematian mengejut.

Dalam situasi yang berbeza, ARVC boleh terjadi apabila arteri koronari yang menghantar darah kepada otot jantung mengambil laluan yang salah di sekitar jantung (anomaly arteri koronari).

“Kematian mendadak boleh berlaku semasa latihan apabila arteri ini ditekan oleh struktur lain yang berdekatan dengan jantung,” katanya.

Terdapat juga keadaan ‘pendawaian elektrik’ jantung yang tidak normal membawa kepada perkembangan denyutan jantung merbahaya dan menyumbang kepada kematian secara mengejut (long QT syndrome).

Justeru, ujar Aleah, para atlet seharusnya tidak mengabaikan tanda-tanda seperti pengurangan denyutan jantung atau sesak nafas yang berterusan selepas melakukan senaman.

“Rasa pening dan jatuh pengsan semasa atau selepas latihan, denyutan jantung yang semakin kerap, sakit pada bahagian dada yang kemudiannya merebak ke lengan, leher, rahang, belakang dan abdomen semasa atau selepas latihan juga mesti diberi perhatian,” katanya yang pernah bertugas sebagai Terapis Sukan di Institut Sukan Negara (ISN).

Ujar Aleah, lazimnya berlaku tanda-tanda awal sebelum berlaku keadaan tersebut, justeru, adalah penting bagi para atlet untuk melaporkan keadaan mereka kepada pihak yang bertanggungjawab dan seterusnya melakukan saringan penyertaan awal (pre-participation screening).

Katanya berdasarkan kajian di Itali, saringan penyertaan awal yang dilakukan dalam kalangan atlet selama 25 tahun telah menunjukkan keberkesanan dalam pengurangan kadar kematian daripada 3.6:100,000 atlet kepada 0.4:100,000 atlet.

“Angka-angka ini menunjukkan pengurangan sebanyak 90 peratus dalam SCD, terutamanya kematian yang berpunca daripada kardiomiopati (penyakit pada otot jantung) dan kajian ini telah membuktikan bahawa saringan penyertaan awal jantung dapat mengurangkan kadar kematian dalam bidang sukan,” katanya.