Di Malaysia, berdasarkan data yang diperoleh pada tahun 2012, kanser kolorektum dikelaskan sebagai kanser yang paling biasa dalam kalangan kaum lelaki dan kanser kedua paling biasa dalam kalangan wanita. Selama ini, kanser kolorektum lebih biasa dikaitkan dengan negara-negara maju, namun kini kes kanser semakin menular di negara-negara membangun termasuk Malaysia.

Rawatan kanser kolorektum diberikan mengikut kesesuaian pesakit berdasarkan -faktor seperti tahap kanser, mutasi genetik yang terdapat dalam kanser, serta umur dan status kesihatan pesakit secara amnya.

KANSER kolorektum melibatkan pertumbuhan sel-sel kanser di dalam
KANSER kolorektum melibatkan pertumbuhan sel-sel kanser di dalam saluran usus besar, khususnya kolon dan rektum. –GAMBAR HIASAN

Kanser kolorektum peringkat awal mempunyai peluang yang tinggi untuk sembuh, dengan statistiknya mencecah 90 peratus untuk kumpulan pesakit tertentu. Untuk kanser tahap satu, pembedahan sahaja sudah memadai untuk menyembuhkan penyakit ini. Untuk kanser tahap dua dan tiga, pesakit mungkin perlu menjalani kemoterapi dan radioterapi selepas pembedahan bagi mengurangkan risiko kanser berulang dan merebak, di samping meningkatkan peluang pesakit untuk hidup.

Rawatan untuk pesakit

Kebanyakan pesakit di Malaysia didiagnos apabila mencecah tahap empat, di mana kanser telah merebak atau mencapai metastasis. Pada peringkat ini, tujuan rawatan kebanyakannya untuk memanjangkan hayat pesakit selama yang mungkin tanpa menjejaskan gaya hidup mereka.

Kemoterapi adalah komponen utama dalam rawatan metastatik. Folfox dan Folfiri adalah antara kombinasi kemoterapi dengan keberkesanan yang paling terbukti, di mana tindak balas tumor (menghentikan atau menyusut ketumbuhan) dan jangka hayat pesakit yang lebih panjang dapat diperhatikan.

Perkembangan dalam bidang perubatan telah membolehkan kita mengenal pasti ciri-ciri biologi yang dapat meramal sifat tumor dan mutasi genetik yang mempercepatkan pertumbuhan kanser. Penemuan ini telah menyumbang kepada penciptaan ubat-ubat baharu yang menjadikan mutasi genetik ini sebagai ‘sasaran’.

Ubat-ubat sedemikian, contohnya anti-VEGF dan anti-EGFR (yang menjadikan laluan EGFR sebagai sasaran) didapati berupaya memanjangkan jangka hayat pesakit. Bergantung kepada karakteristik pesakit , dan aspek lain seperti kesihatan am dan faktor sosioekonomi, garis panduan 2016 yang dibina oleh Persatuan Pakar Onkologi Perubatan Eropah (European Society for Medical Oncologists, ESMO) mencadangkan bahawa jangka hayat pesakit mungkin boleh dilanjutkan sehingga 30 bulan dengan rawatan yang sesuai. Standard perkhidmatan penjagaan kesihatan Eropah mungkin agak sukar untuk disusuli di rantau ini, namun persatuan-persatuan perubatan di Asia kini cuba mengamalkan prinsip ESMO atas pengiktirafan bahawa panduan ESMO menawarkan strategi rawatan yang sebaik mungkin .

Penggunaan ubat

Garis panduan itu mengesyorkan bahawa pesakit yang baru didiagnos harus diberikan terapi yang dinyatakan di atas, dengan salah satunya termasuk ubat faktor pertumbuhan endotelium antivaskular (VEGF) yang membantutkan pengaliran darah kepada tumor, memperlahankan pertumbuhan tumor dan memanjangkan jangka hayat pesakit. Walaupun anti-VEGF tidak dicipta untuk menyasarkan mutasi tertentu, ia boleh diberikan kepada sebilangan besar pesakit kanser kolorektum metastatik. Gabungan kemoterapi dan anti-VEGF juga boleh diberikan, bergantung pada keadaan pesakit. Ini bertujuan mengawal kanser selepas selesai pusingan pertama rawatan terapi maintenance dan untuk merawat kanser yang berulang (terapi barisan kedua). Terapi maintenance, khususnya dengan anti-VEGF adalah penting untuk memperlahankan pertumbuhan tumor yang selanjutnya.

Pesakit yang menunjukkan hasil ujian positif untuk RAS jenis liar, salah satu subjenis kanser kolorektum, mempunyai gen RAS aktif yang menggalakkan pertumbuhan dan pelanjutan hayat sel tumor. Bagi pesakit sebegini, penggunaan ubat anti-VEGF atau antibodi EGFR dengan kemoterapi dapat meningkatkan keberkesanan rawatan.

Hakikatnya, merawat kanser kolorektum metastatik adalah sesuatu yang mencabar. Pesakit haruslah sentiasa memberi keutamaan untuk berbincang dengan doktor mereka tentang matlamat dan pilihan rawatan semasa temujanji yang ditetapkan agar mereka sentiasa mendapat maklumat yang secukupnya dan kesihatan pesakit berada di dalam genggaman sendiri.