Setiap tahun maktab ini akan menganjurkan Kursus Pemerintahan dan Staff Malaysia (KPSM) bagi membolehkan mereka merancang, mengurus, memimpin dan mengawal aspek pengoperasian yang lebih strategik dan berkesan.

Tahun ini, KPSM Siri Ke-48 bermula dari 15 Januari hingga 28 November meliputi 165 penuntut dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu darat, laut dan udara.

Justeru, dalam memastikan proses pembelajaran yang menyeluruh, maktab ini juga bertanggungjawab mendedahkan para isteri penuntut KPSM dengan tugas dan peranan mereka bagi membantu kerjaya suami. Sebagaimana diketahui umum, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) telah diwujudkan untuk mendukung aspek kebajikan anggota dan keluarga mereka.

Di antara aktiviti yang diatur dalam program Bakat di MTAT adalah Bengkel Kaya Budi yang diadakan pada 21 hingga 24 Februari lalu sebagai pendedahan berkenaan pengurusan Bakat.

Baru-baru ini, Bakat Divisyen Jitra menganjurkan program kesihatan berkonsepkan Beautifully Fit 2019 sebagai usaha memupuk semangat kerjasama dan muafakat dalam kalangan ahli. Penganjuran program secara tahunan itu merupakan kesinambungan selepas golongan isteri menghadiri Bengkel Kaya Budi di MTAT.

Program itu bertujuan memberi pengetahuan dan pendedahan kepada golongan wanita berhubung amalan hidup sihat.

Dalam ucapan pembukaan program, Pengerusi Bakat MTAT, Datin Erni Irawati Rosli memberitahu, isteri merupakan tulang belakang dan penyokong kepada perjalanan kerjaya suami. Justeru, program seumpamanya harus diberikan penekanan terutama kecantikan dan kesihatan dalaman.

“Program ini juga menekankan beberapa aspek ketenteraan seperti meningkatkan tahap disiplin diri, sentiasa peka terhadap pengurusan masa, mewujudkan semangat setiakawan dan kerjasama secara berkumpulan,” katanya.

Tambahnya, seramai 130 ahli Bakat Divisyen Jitra terlibat dalam program berkenaan.

“Wanita perlu menitikberatkan penjagaan kesihatan walaupun sibuk bekerja dan menguruskan rumah tangga. Melalui program seumpama ini, seorang isteri akan dapat bergiat lebih aktif membina keluarga yang sihat dan harmoni,” ujarnya.

Sementara itu menurut Pengerusi program, Suhaina Muhammad, yang menariknya pada kali ini program tersebut dianjurkan di kawasan terbuka iaitu di persekitaran Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Antara program yang dianjurkan adalah ceramah dan pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kepong, aktiviti zumba dan eksplorasi.

Turut disediakan beberapa gerai jualan bagi menceriakan program tersebut.