Ibunya menyedari Alif sentiasa mendongakkan kepalanya untuk melihat, justeru pakar mata menyarankan pembedahan dilakukan bagi membesarkan bukaan mata untuk mengelak penyakit mata malas (ambliopia).

Dalam kes lain, seorang wanita, Lim berusia 45 tahun (bukan nama sebenar) sering berasa tidak bermaya dan mengadu kedua-dua kelopak matanya semakin sukar dibuka menjelang petang.

Pesakit yang menghidap ptosis menunjukkan gejala dan tanda biasanya kelihatan seperti mengalami keletihan atau mengantuk. Bukaan mata menjadi lebih kecil sehingga boleh menutupi sebahagian atau keseluruhan anak mata sehingga menganggu penglihatan.
 

Dia turut mengadu imej kelihatan berganda (double vision) dan adakalanya matanya menjadi juling selain suaranya semakin lemah apabila banyak bercakap.

Wanita berkenaan telah dirujuk kepada pakar mata dan juga pakar neurologi (saraf) dan mengesahkan dia menghidap gangguan saraf, myasthenia gravis.

Kedua-dua keadaan ini merupakan gejala ptosis iaitu suatu keadaan yang mana kedudukan kelopak mata bahagian atas adalah lebih rendah berbanding kebiasaan dan menyebabkan bukaan mata menjadi lebih kecil.

Dalam kalangan masyarakat negara ini, ptosis biasa disebut sebagai mata kuyu dan boleh melibatkan kedua-dua belah mata atau sebelah mata sahaja. Walaupun ptosis lebih dilihat sebagai satu masalah kosmetik, ia juga boleh membabitkan gangguan penglihatan apabila kelopak mata berkaitan menutup anak mata (pupil).

Jika keadaan ini berlaku pada kanak-kanak, ia boleh menyebabkan ambliopia.

Ptosis sebenarnya boleh berlaku pada kanak-kanak dan orang dewasa. Kanak-kanak yang dilahirkan dengan ptosis kongenital mempunyai tahap kekuatan otot levator yang sangat lemah kerana pembentukan otot ini yang tidak sempurna ketika dalam kandungan.

Sebahagian kecil daripada ptosis kongenital adalah berkait rapat dengan sindrom tertentu antaranya adalah Sindrom Duane Retraction, Sindrom Marcus-Gunn Jaw Winking dan Sindrom Blepharophimosis.

Golongan yang lebih berusia, seiring proses penuaan, otot levator akan menjadi lemah dan meregang hingga menyebabkan kelopak mata semakin jatuh. Selain itu, ptosis juga boleh berlaku apabila terdapat masalah trauma atau kecederaan dan ketumbuhan atau tumor pada struktur di sekitarnya.

Ptosis juga boleh menjadi antara gejala awal penyakit yang lebih serius akibat gangguan saraf seperti myasthenia gravis dan dalam keadaan tertentu, ptosis juga boleh diwarisi dalam keluarga.

Pesakit yang menghidap ptosis menunjukkan gejala dan tanda biasanya kelihatan seperti mengalami keletihan atau mengantuk. Bukaan mata menjadi lebih kecil sehingga boleh menutupi sebahagian atau keseluruhan anak mata sehingga menganggu penglihatan.

Pesakit cenderung mengangkat kening, mengerutkan dahi dan mengangkat kepala atau mendongak ketika melihat manakala ptosis yang berkaitan gangguan saraf pula, pesakit boleh mengalami masalah juling.

Kelopak mata yang menutupi anak mata dalam kalangan kanak-kanak akan meningkatkan risiko masalah rabun silau (astigmatisma) dan jika tidak dirawat segera boleh menyebabkan masalah ambliopia.

Ptosis dapat dirawat melalui pembedahan namun jenis pembedahan adalah bergantung kepada tahap kekuatan otot levator.

Ptosis kongenital yang menutupi anak mata perlu dirawat seawal mungkin kerana gangguan penglihatan yang tidak dirawat dalam usia lima tahun pertama boleh menyebabkan ambliopia.

Jenis pembedahan yang biasa dijalankan untuk ptosis kongenital ialah frontalis suspension/sling ekoran fungsi otot levator yang terlalu lemah.

Melalui pembedahan ini, bukaan kelopak mata kanak-kanak boleh diangkat dengan menggunakan fascia yang diambil daripada bahagian paha atau bahan sintetik seperti silikon.

Rawatan pemulihan selepas pembedahan adalah amat penting, justeru kerjasama daripada ibu bapa atau penjaga amat diperlukan bagi mengelak terjadinya komplikasi seperti exposure keratopathy akibat permukaan kornea yang terdedah dan kering.

Ibu bapa atau penjaga perlu meletakkan ubat titis dan ubat salap seperti diarahkan doktor dan selepas pembedahan kanak- kanak terbabit harus menjalani rawatan ambliopia sekiranya perlu.

Ptosis yang berpunca daripada proses penuaan, pembedahan pada otot levator aponeurosis atau struktur kelopak mata boleh dilakukan.

Rawatan ptosis kongenital boleh memberikan hasil yang baik berdasar fungsi dan kosmetik sementara masalah ambliopia berpotensi untuk diatasi dengan berkesan melalui pemerhatian dan rawatan yang teliti.