“Tidak terlalu sesak dan paling penting bayarannya tidak terlalu mahal.

“Saya puas hati sepanjang hampir 10 tahun menerima rawatan di sini,” kata Ilyas Kaoy Hasan dari Jakarta, Indonesia,” di ruang menunggu Klinik Swasta Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

AHMAD KHAIRUDDIN MOHAMED YUSOF
AHMAD KHAIRUDDIN MOHAMED YUSOF 

Ahli perniagaan berusia 65 tahun itu memilih IJN bagi merawat penyakit jantung yang dihidapinya sejak 2010.

Dalam tempoh itu, beliau telah menjalani tiga rawatan jantung melibatkan pembedahan pintasan jantung, prosedur angioplasti iaitu proses menempatkan gegelung besi atau stent di dalam saluran arteri koronari dan penempatan belon.

SERASI DAN SELESA

Baru-baru ini, Ilyas mengunjungi Malaysia untuk mendapatkan rawatan susulan.

Seperti biasa, beliau ditemani anak sulungnya, Indra Gunawan Ilyas Kaoy, 43, yang juga ahli perniagaan.

“Doktor peribadi yang merawat bapa saya di Jakarta menyarankan kami mendapatkan rawatan jantung di sini. Katanya, perkhidmatan, peralatan dan kemudahan di IJN bagus. Belanjanya juga masih terjangkau (munasabah), selain terdapat ramai doktor pakar.

“IJN merupakan tempat pertama bapa saya mendapatkan rawatan bagi masalah jantungnya. Alhamdulillah, serasi dan bapa cuma perlu menjaga kesihatan agar kekal sihat,” katanya.

Sudah menjadi rutin bagi dua beranak itu berulang alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur (KL) setiap enam bulan sekali untuk rawatan susulan Ilyas di IJN.

“Inilah rutin kami sejak 2010 (berulang alik antara Jakarta dan KL). Jika saya tidak dapat menemani bapa, adik saya akan mengambil alih tugas itu,” tambahnya.

Indra Gunawan berkata, sejak menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2010, kesihatan bapanya semakin baik kerana beliau sentiasa mematuhi nasihat doktor.

Cara hidup, bahasa, adat dan budaya serta faktor hubungan bangsa serumpun membuatkan Malaysia begitu dekat di hati Ilyas dan Indra Gunawan, sekali gus menjadi faktor yang menarik mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan di negara ini.

Setiap kali kunjungan ke KL, mereka akan berada selama empat hari di ibu negara dan menginap di hotel berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Paul Wibowo Hartono, 39, yang juga dari Indonesia, turut memilih IJN bagi menjalani pemeriksaan perubatan termasuk masalah jantung.

“Ini kali pertama saya datang ke sini (IJN) bagi tujuan pemeriksaan jantung. Bapa mertua yang sarankan saya supaya ke sini. Beliau pernah melakukan pemeriksaan yang sama sebelum ini,” kata ahli perniagaan dari Surabaya itu.

Ditanya pengalaman pertamanya di IJN, beliau berkata, secara keseluruhannya, institut jantung itu menawarkan perkhidmatan yang lengkap.

Selain itu, katanya, semua urusan mudah dan lancar berikutan kecekapan kakitangan dan pakar yang bertugas.

IJN JADI PILIHAN

Pakar Perunding Kardiologi IJN, Datuk Dr. Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof mengakui ramai pesakit luar negara memilih untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan di IJN.

Selain Indonesia, IJN turut merawat pesakit dari Brunei, Laos, Myanmar, Vietnam, Bangladesh, India, Somalia, China, Oman, Korea Selatan, Iran, Australia, Iraq, Sudan, Arab Saudi, Jepun, Hong Kong, Denmark, New Zealand, Itali, Senegal, Maldives dan Perancis.

“Mungkin jenama IJN yang membuatkan mereka yakin untuk datang dan mendapatkan rawatan jantung di sini.

“Ada juga pusat perubatan lain menawarkan perkhidmatan sama seperti di Singapura, Johor dan Melaka, namun faktor harga yang lebih berdaya saing, lokasi strategik di tengah ibu kota serta hospitaliti menjadi antara perkara yang dipertimbangkan pesakit untuk mendapatkan rawatan di IJN,” katanya.

Selain pakar dan kakitangan berpengalaman, Klinik Swasta IJN turut menyediakan perkhidmatan penterjemah kepada pesakit asing yang memerlukan khidmat jurubahasa bagi tujuan memudahkan urusan komunikasi sewaktu pemeriksaan dan rawatan.

Pegawai bertugas turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa klia2 atau Lapangan Terbang Subang ke IJN, selain membantu menguruskan temu janji klinik, kemasukan ke hospital, kewangan, hubungan dengan kedutaan, syarikat insurans antarabangsa termasuk beberapa organisasi lain.

Dr. Ahmad Khairuddin berkata, IJN kini mempunyai mesin pengimbas PET (Positron Emission Tomography) Tomografi Berkomputer (CT) atau PET-CT untuk membolehkan pesakit mendapatkan resolusi tepat jantung dalam rawatan.

“Sebelum ini, pelbagai prosedur rawatan perlu dijalani pesakit jantung atau kardiovascular (CVD), sebagai contoh Pengimejan (x-ray) atau Imbasan Magnetik Resonan (MRI) bagi mendapatkan gambaran struktur dalaman jantung sebelum menjalani rawatan seterusnya.

“Dengan adanya mesin pengimbas PET-CT, ia mampu menjana imej lebih tepat ke atas organ yang disasarkan dengan ketepatan pengesanan antara 95 hingga 98 peratus.

“Ia juga berupaya mengesan tumor dan kanser, sekali gus menjadikan IJN pusat rujukan untuk penyakit kardiovaskular dan kanser,” katanya.

Pada masa sama, katanya, IJN menawarkan harga berpatutan dengan rawatan berkualiti tinggi yang memberi manfaat besar kepada pesakit, tidak kira dari dalam atau luar negara.

Sejak penubuhannya pada 1992, IJN telah menjalankan sebanyak 150,000 rawatan kardiologi termasuk 37,000 pembedahan jantung dan 20,000 pembedahan kardiotorasik pediatrik.

IJN DIIKTIRAF JCI, MSQH

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Patients Beyond Borders (PBB), Josef Woodman, berkata, Malaysia adalah antara destinasi utama untuk pelancongan perubatan berdasarkan faktor geografi, kualiti, nilai dan kaum.

“Lokasinya yang mudah, infrastruktur dan tanda aras klinikal yang cemerlang serta menjadi destinasi pelancongan perubatan paling murah adalah antara faktor yang menyebabkan ramai pesakit asing memilih mendapatkan rawatan jantung di Malaysia.

“Di samping itu, sebagai negara pelbagai kaum dan budaya yang telah memberi perkhidmatan perubatan kepada ramai pesakit asing terutamanya dari Indonesia, China, Timur Tengah dan Barat, ia menjadikan Malaysia sebagai satu daripada destinasi pelancongan perubatan terbaik di dunia,” katanya.