Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2014 pula menyebut kadar kematian akibat CVD dalam kalangan rakyat Malaysia ialah 36 peratus. Dianggarkan 17.7 juta meninggal dunia akibat CVD pada 2015 iaitu 31 peratus daripada keseluruhan kematian CVD di dunia.

Dr. Ahmad Khairuddin mengaitkan CVD termasuk serangan jantung dan strok dengan kandungan kolesterol yang tinggi di dalam darah.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 menunjukkan kira-kira 47.7 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai kolesterol darah yang tinggi dikenali juga sebagai hypercholesterolemia.

Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 32.6 peratus pada 2011.

"Perubahan tingkah laku individu berkait dengan gaya hidup adalah penting. Perlu lebih banyak senaman, makan makanan sihat, elakkan alkohol dan lemak tidak tepu pelbagai polyunsaturated fat serta kurangkan kalori.

"Meskipun rawatan termasuk perubatan statin boleh membantu mengurangkan kolesterol yang tinggi, namun pencegahan lazimnya lebih baik dan mengamalkan gaya hidup sihat penting untuk mengurangkan risiko," jelasnya.

Beliau menambah beberapa kesan CVD termasuk ketidakmampuan fizikal, beban kewangan dan tekanan emosi yang bukan sahaja ditanggung pesakit, tetapi juga penjaga mereka.

Dr. Ahmad Khairuddin ditemui ketika pelancaran Repatha (evolocumab) iaitu kaedah rawatan baru untuk kolesterol jahat (LDC-C) yang tinggi dan tidak dapat dikawal, anjuran Zuellig Pharma di Kuala Lumpur.

PEMBUNUH SENYAP

Kebanyakan mereka yang mempunyai kadar kolesterol tinggi tidak mempunyai gejala dan ramai tidak sedar akan keadaan kesihatan mereka.

Ini akan hanya dapat dikesan apabila ujian darah dilakukan. Justeru, ia juga dikenali sebagai ‘pembunuh senyap.’

Menurut Dr. Ahmad Khairuddin, sekiranya keadaan itu dibiarkan boleh menyebabkan atherosclerosis, iaitu pengumpulan kolesterol di dalam arteri atau pembuluh darah yang kemudian membentuk deposit dipanggil plak.

"Plak terdiri daripada lemak, kolesterol, kalsium serta benda lain yang terdapat dalam darah. Ia akan mengeras dan kemudian menyempitkan arteri. Keadaan ini mengehadkan aliran darah yang kaya dengan oksigen ke organ dan bahagian lain tubuh.

"Ini boleh menyebabkan 'angina' atau sakit dada berlaku apabila bekalan darah ke jantung terjejas akibat arteri yang tersumbat atau serangan jantung sekiranya arteri yang sarat dengan plak pecah dan berlaku darah beku atau strok jika aliran darah ke otak tersekat akibat arteri yang tersumbat," jelasnya.

Di sebalik tanda yang tidak jelas, Dr. Ahmad Khairuddin bagaimanapun berkata, seseorang itu mungkin perlu melihat beberapa tanda awal terutama pada kulit mereka untuk mengetahui sama ada mempunyai penyakit berkenaan.
Itu mungkin tanda fizikal seperti tompok kuning di sekitar kulit kelopak mata dikenali sebagai xanthelasma palpebrarum, kelihatan 'lengkuk' putih atau kelabu di dalam mata arcus senilis atau deposit kuning (benjol) di dalam tendon yang dipanggil xanthomata.

RAWATAN REPATHA

Ubat statin yang biasanya diberikan untuk mengurangkan LDL-C yang tinggi bagaimanapun tidak cukup bagi sesetengah pesakit.

Dalam hal ini, Repatha iaitu sejenis perencat 'proprotein convertase subtilisin/kexintype 9' (PCSK9) digunakan untuk menurunkan paras kolesterol darah yang tinggi. Ia penting bagi mengurangkan LDL-C bagi pesakit yang tidak mendapat kesan optimum terapi menggunakan statin.

Ia juga dikenali sebagai rawatan baru untuk LDL-C yang tinggi dan tidak dapat dikawal. Repatha boleh digunakan secara kombinasi dengan statin untuk pesakit yang tidak dapat mencapai pengurangan LDL- C walaupun diberi dos statin yang maksimum.

Sementara itu Perunding Pakar Kardiologi, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr. Choo Gim Hooi yang turut berada pada majlis berkenaan berkata, kombinasi Repatha dan statin mungkin dapat mengurangkan LDL-C sehingga 77 peratus berbanding terapi statin semata-mata.

"Repatha adalah selamat untuk digunakan dan tidak ada kesan sampingan yang besar. Ini adalah antara inovasi paling penting dalam pengurusan kolesterol sejak 30 tahun.

"Kami akan memantau kesannya ke atas pesakit dan penggunaannya juga dapat membantu mengurangkan kes CVD,” kata Dr. Choo.

Menurutnya, rawatan Repatha dibuat setiap dua minggu atau bulanan, secara suntikan.

Repatha boleh diperoleh di Malaysia sejak April 2018 dan diedarkan oleh Zuellig Pharma serta dikilangkan oleh Amgen. – BERNAMA