Kitaran hidup nyamuk aedes mengambil masa hanya seminggu bermula daripada telur kepada jentik-jentik hingga menjadi nyamuk dewasa.

Terdapat empat jenis virus denggi iaitu DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4 dan jangkitan oleh satu jenis virus mungkin menghasilkan perlindungan terhadap virus berkenaan.

Jika dijangkiti semula dengan virus jenis lain, orang itu akan mengalami jangkitan demam denggi yang lebih teruk iaitu demam denggi berdarah.

Sehingga kini, tiada rawatan khusus untuk demam denggi atau demam denggi berdarah. Rawatan sokongan dengan cecair intravena serta pemantauan ujian darah mampu mengurangkan komplikasi manakala vaksin untuk mencegah demam denggi masih dalam peringkat ujian sehingga boleh diperoleh.

Menurut statistik, walaupun terdapat usaha berterusan untuk memerangi denggi, Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 80,615 kes denggi dengan 147 kematian pada 2018 telah direkodkan.

Terkini, dalam tempoh tiga minggu pertama Januari 2019, kes demam denggi telah mencecah sehingga lebih 3,000 kes dengan 16 kematian direkodkan. Justeru, bagi menangani isu ini, perlu lebih banyak usaha proaktif dijalankan.

Sebagai usaha membanteras aedes, syarikat kimia terkemuka dunia, BASF (Malaysia) Sdn. Bhd. (BASF) mengumumkan kerjasama strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha memerangi denggi di Malaysia menerusi kempen ‘Banteras Aedes Bersama Program BASF’.

Memorandum Perjanjian (MoA) ini bakal menjadi titik permulaan untuk kedua-dua organisasi tersebut memberikan komitmen mereka dalam meningkatkan kesedaran orang ramai di samping menggalakkan langkah-langkah positif ke arah pencegahan denggi.

Menyumbang kepakaran masing-masing, BASF dan UKM akan bersama-sama menghasilkan bahan pendidikan awam yang memberi pencerahan kepada orang ramai tentang amalan pencegahan yang disarankan termasuk penggunaan larvisid yang betul untuk menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes. Selain itu, aktiviti jelajah di kawasan risiko denggi di sekitar Selangor akan turut dianjurkan bagi tujuan perkongsian langkah-langkah pencegahan denggi dengan lebih berkesan bersama orang ramai.

Antara aktiviti awal yang telah dijalankan adalah projek perintis di sekitar Selangor oleh pelajar Biomedik UKM. Projek pertama diadakan di Presint 9, Putrajaya, diikuti Pangsapuri Damansara Damai, Kepong dan Pangsapuri Fasa 6 Bandar Tasik Kesuma, Semenyih. Hasil inisiatif ini, maka lahirlah program ‘Banteras Aedes Bersama Program BASF’.

Sementara itu jelajah program yang pertama akan berlangsung pada April 2019 dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala dua lagi aktiviti jelajah akan dijalankan pada separuh kedua tahun ini.

Menariknya tarikan utama dalam aktiviti jelajah tersebut adalah perlumbaan eksplorasi peserta. Mereka akan bekerjasama dalam pasukan masing-masing bersaing menghapuskan sebanyak mungkin tempat pembiakan nyamuk aedes.

Aktiviti akan turut dilengkapi dengan perkongsian pengetahuan dan pembentangan video bertujuan memberi pemahaman mendalam mengenai langkah-langkah mencegah wabak denggi.