Mangsa bergelimpangan, ada yang berlumuran darah, mengerang kesakitan dan tidak sedar diri. Ini merupakan situasi yang mungkin berlaku jika anda berhadapan dengan suasana kemalangan jalan raya.

Persoalannya, apakah yang perlu anda lakukan?

Menurut kajian Institut Penyelidikan Pengangkutan, Universiti Michigan Amerika Syarikat kajian pada Februari 2014, Malaysia menduduki tempat ke-17 teratas dalam kadar kematian jalan raya di dunia. Kajian ini berdasarkan data tahun 2008 daripada Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut melibatkan 193 negara yang lain.

Mengulas tentang kemalangan jalan raya, Timbalan Ketua Pegawai Kejururawatan Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. S. Goventhamah berkata, kebanyakan rakyat Malaysia masih menunjukkan simpati kepada mangsa kemalangan dengan menghulurkan bantuan. Tidak ketinggalan, ada yang memberhentikan kenderaaan hingga menyebabkan kesesakan.

Namun demikian, sebagai orang awam yang tidak mengetahui cara melakukan perawatan awal dan perawatan kecemasan yang betul, membantu tanpa ilmu boleh menyebabkan keadaan mangsa akan bertambah teruk.

“Rawatan kecemasan dapat menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan jika semua pihak yang terlibat bertindak pantas. Ini boleh dilakukan sekiranya anda melakukan beberapa langkah termasuk memberhentikan kenderaan jika anda orang pertama melihat kemalangan.

“Namun, anda tidak perlu memberhentikan kenderaan dengan niat ingin membantu (selain jika anda seorang paramedik terlatih) jika anda lihat orang awam mengerumuni mangsa kerana tindakan itu hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas seterusnya menyukarkan ambulans untuk sampai kepada mangsa,” katanya.

Sebagai orang pertama yang melihat mangsa kemalangan jalan raya, anda boleh menenangkan mangsa serta ahli keluarga selain bertindak mengawal lalu lintas. Goventhamah juga menasihatkan supaya menelefon segera panggilan kecemasan 999 dan terangkan dengan terperinci setiap soalan yang ditanya agar memudahkan pihak hospital, polis dan bomba yang memberi maklum balas bersedia dengan peralatan dan pasukan yang cukup.

Sementara itu, Pengurus Unit Perkhidmatan Kemalangan dan Kecemasan Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Balreet Kaur Baljit Singh memberitahu, jika mangsa mampu bergerak tetapi dalam keadaaan lemah, bantu mangsa dan alihkannya di tepi jalan atau tempat yang lebih selamat.

Kemudian, alihkan serpihan-serpihan bekas kemalangan yang mungkin berbahaya dan boleh memudaratkan. Jika mangsa tidak sedarkan diri, cuba kejut pesakit dengan menepuk kedua bahu pesakit. Jangan sesekali cuba mengalihkan pesakit kerana ia mungkin akan menambahkan komplikasi kepada mangsa seperti kepatahan tulang cervical (leher).

“Jika pasukan perubatan telah tiba, berikan laluan dan biarkan pasukan perubatan melakukan proses menyelamat,” katanya.

Mengulas tentang langkah selanjutnya di unit kemalangan dan kecemasan, Balreet Kaur memberitahu, semasa dalam perjalanan menggunakan ambulans, mangsa sudah dikategorikan mengikut tahap kecederaan yang dialami.

“Mangsa yang memakai gelang merah akan dibawa ke bilik rawatan segera dan diutamakan kerana mangsa mengalami kecederaan kritikal. Doktor dan jururawat yang bertugas akan mengenal pasti kecederaan mangsa menggunakan x-ray. Mereka yang tidak sedarkan diri dan serius akan akan dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Dalam pada itu, mangsa yang memakai gelang kuning merupakan mangsa yang cedera separa kritikal dan kebanyakan mereka berada dalam keadaan sedar. Bagi yang mengalami kecederaan ringan pula, mereka akan diikat dengan gelang hijau. Mangsa-mangsa ini akan diberi rawatan lanjut di wad biasa.

Sementara itu, gelang ber­war­na hitam pula digunakan untuk mangsa yang telah disahkan mati di tempat kejadian.